Memaparkan catatan dengan label seram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label seram. Papar semua catatan

Khamis, 24 Julai 2025

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi


Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu bertiang tinggi itu telah berusia lebih 80 tahun, diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya dalam keluarga Salbiah. Dan kini, rumah itu dihuni oleh cucunya yang bernama Nurazila, seorang penulis bebas yang memilih untuk berpindah ke situ selepas kematian suaminya.

Pada mulanya, Nurazila menyangka hidup di kampung akan memberi ketenangan, jauh daripada hiruk-pikuk kota dan kenangan silam yang menyakitkan. Namun sejak dia menetap di rumah pusaka itu, tidur malamnya tidak pernah lena. Bukan kerana nyamuk, bukan juga kerana rindu, tetapi kerana bunyi tapak kaki di tangga kayu rumahnya, tepat jam 2:44 pagi, setiap malam.

Bunyi itu bukan sekali dua. Ia berlaku setiap malam, dengan rentak yang sama, langkah demi langkah, seolah-olah seseorang sedang menaiki tangga perlahan-lahan... dan berhenti di ambang pintu. Namun, pintu tidak pernah diketuk. Cuma sunyi... dan degupan jantung Nurazila sendiri.

Malam pertama: Bunyi Yang Mengganggu

Pada malam pertama bunyi itu muncul, Nurazila terbangun daripada tidur kerana dengusan anjing kampung yang liar menyalak panjang di luar rumah. Dia mengintai daripada celah langsir dan mendapati kawasan sekeliling gelap dan sunyi. Jam di dinding biliknya menunjukkan 2:44 pagi. Dia ingin menyambung tidur, tetapi ketika itu dia terdengar bunyi yang mengejutkan - krek... krek... kerk..., bunyi tangga kayu dipijak seseorang.

Dia diam. Memandang ke pintu biliknya yang tidak berkunci. Langkah itu terhenti. Tiada sesiapa masuk. Tiada sesiapa panggil. Bunyi itu hilang, seakan-akan berhenti di tengah udara.

Dia menunggu. Lima minit. Sepuluh minit. Tiada apa berlaku. Nurazila menarik nafas panjang dan memujuk dirinya, "Mungkin hanya tikus atau kayu reput."

Namun dalam hatinya, satu rasa yang tidak enak mulai bersarang.

Malam Kedua: Nafas Di pintu

Keesokan malamnya, dia sengaja tidur lewat sambil menulis artikel untuk kliennya. Bila jam menunjukkan 2:43 pagi, dia sengaja menghentikan kerjanya dan memasang telinga.

Dan tepat satu minit kemudian, seperti malam sebelumnya, bunyi itu datang, krek... krek... krek... perlahan tapi jelas.

Kali ini, dia tidak hanya duduk di katil. Nurazila berdiri dan menghampiri pintu biliknya. Dia berdiri di belakang daun pintu kayu itu, tanpa membuat sebarang bunyi.

Bunyi tapak kaki itu terhenti... tepat di hadapan pintu biliknya.

Beberapa saat berlalu.

Dan kemudian dia terdengar... bunyi nafas.

Bukan nafasnya sendiri. Tetapi nafas berat, seperti seseorang yang letih atau... sedang mengerang perlahan.

Dia terus menggenggam gagang pintu tetapi tidak berani membukanya. Ketakutan menyesak dada. Air matanya bergenang.

Nafas itu hilang. Langkah kaki menjauh... menuruni tangga dengan perlahan... krek... krek... krek... hingga hilang keheningan malam.

Pertemuan Dengan Tok Alang

Keesokan paginya, Nurazila memberanikan diri bertemu Tok Alang, seorang lelaki tua yang dikenali sebagai penjaga cerita lama kampung itu.

Dia duduk di serambi rumah Tok Alang dan menceritakan apa yang berlaku setiap jam 2:44 pagi.

Tok Alang hanya diam, wajahnya berubah sedikit pucat.

"Aku ingat cerita tu dah lama berlalu," katanya perlahan.

"Apa maksud Tok?"

Tok Alang pun mula bercerita. Dahulu, lebih 40 tahun lalu, rumah pusaka itu pernah dihuni oleh seorang wanita muda bernama Kamariah, iaitu anak saudara kepada nenek Nurazila. Kamariah jatuh cinta dengan  seorang lelaki yang berasal dari luar kampung, tetapi lelaki itu hilang secara misteri sebelum sempat mereka bernikah.

Kamariah dikatakan terlalu kecewa, dan pada suatu malam, dia naik ke loteng rumah itu dan menggantung dirinya... tepat jam 2:44 pagi.

"Dan sejak malam itu," sambung Tok Alang, "Setiap malam pada waktu yang sama, akan ada bunyi tangga, seolah-olah Kamariah masih menunggu seseorang datang... dan dia akan naik ke pintu bilik..."

Malam Terakhir: Kebenaran Tersingkap

Malam itu, Nurazila bersedia. Dia letakkan beberapa batang colok wangi di tepi tingkap. Dia juga membaca surah-surah pelindung sebelum tidur. Namun dalam hati, dia tahu dia tidak boleh lari. Dia perlu tahu siapa yang datang ke pintu biliknya setiap malam.

Jam menunjukkan 2:44 pagi.

Langkah itu muncul semula, krek... krek... krek...

Tapi kali ini, pintu biliknya terbuka perlahan.

Nurazila memandang. Dan di hadapannya, berdiri seorang wanita berambut panjang, berbaju kurung lusuh, mukanya kabur tetapi matanya penuh duka.

Wanita itu tidak marah. Tidak menakutkan. Cuma kelihatan... kecewa dan sunyi.

"Siapa... siapa awak?" tanya nurazila dengan suara bergetar.

Wanita itu tidak menjawab. Dia hanya menghulurkan tangannya ke arah meja di tepi katil. Di atas meja itu, tersimpan sebuah kotak kayu lama yang tidak pernah dibuka sejak Nurazila berpindah.

Tanpa sedar, Nurazila membuka kotak itu. Di dalamnya terdapat surat cinta lama, gambar seorang lelaki tampan, dan di bawah surat itu, terdapat seutas rantai leher berlambang huruf "K" - Kamariah.

Wanita itu memandang rantai itu seketika, lalu memandang Nurazila. Air mata kelihatan mengalir di pipi wajah kaburnya, sebelum perlahan-lahan dia berpaling dan menuruni tangga.

Krek... krek... krek...

Dan selepas malam itu, bunyi tangga pada jam 2:44 pagi tidak lagi kedengaran.

Penutup

Hari ini, Nurazila masih tinggal di rumah itu. Rumah itu kembali sunyi, bukan sunyi yang menakutkan, tetapi sunyi yang damai. Kadangkala dia merenung surat cinta lama itu, terfikir betapa cinta yang tidak kesampaian boleh merantai jiwa selama berpuluh-puluh tahun.

Dan setiap kali jam menghampiri 2:44 pagi, dia akan menutup matanya... dan berdoa agar roh Kamariah akhirnya bertemu ketenangan.

 

Rabu, 23 Julai 2025

Peti Sejuk Yang Berbisik

 


Rumah sewa itu kelihatan biasa saja dari luar, sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Pinggiran Sejati, Seremban. Namun, bagi Nadzim, lelaki bujang berusia 29 tahun yang baru berpindah masuk, ada sesuatu yang tidak kena sejak hari pertama.

Dia menyewa rumah itu atas cadangan rakan sepejabatnya, Faizul. Harga sewanya murah, hanya RM450 sebulan, termasuk perabot asas. Rumah itu telah lama kosong, kata ejen hartanah. Tapi bagi Nadzim, dia tidak kisah. Asalkan ada ruang untuk tidur, mandi, dan menyambung kerjanya sebagai pereka grafik dari rumah.

Di dapur, terdapat satu peti sejuk lama jenama National, model 1990-an. Warnanya kekuningan, pemegangnya berkarat, dan bunyi motornya agak bising pada waktu malam. Tapi ia masih berfungsi, cukup untuk menyimpan air sejuk dan barang basah. Nadzim tidak peduli sangat, kerana niatnya cuma untuk duduk sementara sebelum membeli rumah sendiri.

Namun, pada malam pertama, tepat jam 3 pagi, Nadzim terdengar sesuatu.

"Huh... huh... buka..."

Dia terjaga dari tidur, matanya merenung siling Suara itu sayup, seperti datang dari arah dapur. Jantungnya berdegup kencang. Dalam kegelapan, dia menapak perlahan ke tingkat bawah. Suara itu hilang. Dia ketawa kecil.

"Ah... mungkin kipas peti sejuk," katanya, cuba menyedapkan hati.

Keesokan malamnya, dia dengar lagi. Kali ini lebih jelas.

"Buka... aku lapar..."

Nadzim terus bangun dan meluru ke dapur. Peti sejuk itu berdengung, pintunya tertutup rapat. Dia membuka pintunya. Kosong. Hanya ada botol air mineral dan sebekas lauk kari ayam. Bau hamis menusuk hidung, walaupun makanan itu baru dimasukkan semalam.

"Takkan basi?" katanya, terkejut.

Sejak malam itu, kejadian menjadi lebih pelik. Makanan yang diletakkan di dalam peti sering basi dalam tempoh satu malam. Ada juga yang hilang terus. Kadang-kadang dia dapati ada kesan kuku di atas permukaan makanan, Seolah-olah sesuatu telah mencakar dari dalam.

Pada malam keempat, Nadzim meletakkan sepinggan nasi goreng dalam peti, lalu menulis nota: "Jangan sentuh. Ini untuk esok pagi."

Keesokannya, pinggan itu kosong. Nota itu koyak rabak. Di bawahnya tertulis dengan pensil: "Aku dah kata aku lapar."

Nadzim mula rasa tidak sedap hati. Dia cuba bertanya kepada jiran sebelah, seorang pakcik tua bernama Haji Razak.

"Oh, kamu duduk rumah nombor 32 tu ya?" tanya Haji Razak, wajahnya berubah serta-merta.

"Kenapa, pak cik?"

"Dulu, rumah itu milik seorang wanita tua. Dia tinggal seorang diri. Orang kampung panggil dia Mak Esah peti sejuk..."

"Kenapa gelaran tu?"

Haji Razak menghela nafas.

"Dia ada penyakit... suka simpan daging dan organ haiwan pelik dalam peti sejuk. Kadang-kadang kucing, kadang-kadang lebih dari itu. Orang kampung kata dia buat ilmu hitam... sampai satu hari bau busuk keluar dari rumah. Bila polis pecah masuk, dia dah mati dalam peti sejuk sendiri. Tubuh dia separuh beku... tapi mata masih terbuka, macam sedang menunggu seseorang..."

Nadzim terkedu. Malam itu, dia nekad mahu buang peti sejuk tersebut.

Namun, bila dia cuba menolak keluar peti itu, ia seperti terpaku di lantai. Walaupun dengan kudrat penuh, peti itu langsung tidak bergerak. Bahkan, suis kuasa pun tidak boleh ditarik keluar.

Dia mula membaca ayat-ayat suci, memanggil Faizul untuk membantu. Tapi Faizul tidak menjawab panggilan.

Malam itu, tepat jam 3 pagi, suara itu datang semula. Kali ini lebih garau, lebih dekat.

"Aku lapar, Nadzim... aku nak daging segar..."

Peti sejuk itu terbuka sengan sendirinya. Udara sejuk dan bau hanyir menyembur keluar. Dari dalamnya, muncul bayangan tubuh wanita tua berkain batik, matanya merah, tangannya kurus dengan kuku panjang mencengkam pintu.

Nadzim tergamam. Dia cuba lari, tapi lantai menjadi licin dengan darah. Dia terjatuh, kepalanya terhentak di bucu meja.

Sedar-sedar, dia sudah terbaring di ruang tamu. Pagi menjelma. Kepalanya berdenyut, tapi peti sejuk itu tertutup seperti biasa.

Dia anggap itu cuma mimpi buruk. Tapi bila dia membuka peti untuk mengambil air, dia melihat sesuatu yang membuatkan dia hampir muntah.

Sebelah tangannya sendiri berada dalam ruang sejuk beku. Segar. Berdarah. Dan nota kecil tertampal di dinding peti:

"Sedap... tapi belum cukup."

Nadzim pengsan.

Tiga hari kemudian, pihak pengurusan perumahan datang untuk memeriksa rumah kerana aduan bau busuk. Mereka menemui rumah kosong, tetapi peti sejuk masih berdengung seperti biasa. Apabila dibuka, ada sesuatu yang menanti mereka di dalamnya, mata yang terbeliak, dan senyuman wanita tua yang  masih membeku di dinding dalam.

Rumah nombor 32 kembali kosong. Peti sejuk itu masih ada. Menunggu penyewa baru.



TAMAT

Penulis: Sahril

Rabu, 16 Julai 2025

Suara Dari Dalam Almari

 Kampung Sungai Putih terletak jauh di pedalaman, kira-kira sejam dari pekan Batu Lintang. Dikelilingi pokok getah dan dusun tua, kampung itu tidak mempunyai lebih dari tiga puluh buah rumah. Salah satu rumah paling lama berdiri di situ ialah rumah pusaka milik seorang guru pencen bernama Cikgu Samiran.

Cikgu Samiran hidup bersendirian selepas kematian isterinya lima tahun lalu. Anak-anaknya semuanya menetap di kota, dan pulang hanya sesekali. Rumah kayunya berdinding papan lama dan beratap zink berkarat, namun masih kukuh berdiri - kecuali satu sudut bilik utama yang mengandungi almari besar lama yang tidak pernah dibuka sejak isterinya meninggal.

"Aku rasa... bunyi tu dari almari tu, Bah," kata Naufal, cucu sulung Cikgu Samiran, yang baru dua hari menginap sempena cuti sekolah.

Cikgu Samiran menggeleng, matanya tidak lepas dari surat khabar di tangannya. "Almari tu tak ada apa. Jangan pandai-pandai buka. Barang arwah nenek kamu semua dalam tu."

Tapi malam itu, suara datang lagi.

"Naufal... tolong aku..."

Suara itu perlahan, hampir seperti bisikan, tetapi cukup jelas untuk membuatkan anak remaja berumur 15 tahun itu terkedu. Ia datang dari almari besar di penjuru bilik. Naufal bangun dari tikar, menyalakan lampu meja, dan memandang almari kayu bercorak ukiran Jawa itu. Ia tinggi, dengan pemegang besi berkarat dan bau hapak lama yang kuat.

Dia dekati perlahan, telinganya hampir pada pintu almari.

"Naufal... buka... aku kesejukan..."

Degup jantungnya melonjak. Dia berundur dengan laju dan melompat ke atas tilam, menarik selimut sampai ke kepala.

Pagi esoknya, dia ceritakan segalanya kepada Cikgu Samiran, tetapi datuknya hanya mendengus.

"Itu mungkin kamu bermimpi."

"Tetapi suara tu sebut nama saya, Bah. Dia minta tolong. Dia cakap dia sejuk."

Datuknya diam. Wajahnya berubah kelat. Namun dia tidak berkata apa-apa, hanya bangun dan keluar ke dapur untuk bersarapan.

Hari ketiga, suara itu datang lagi. Tapi kali ini lebih mendesak.

"Naufal... tolong aku. Dia... dia tanam aku... dalam sini... "

Suara itu seperti teresak-esak.

Naufal tak mampu tidur. Dia ambil keputusan untuk membuka almari itu malam ini juga.

Tepat jam dua pagi, dia mmenyuluh ke arah almari menggunakan telefon bimbitnya. Perlahan-lahan dia genggam pemegang berkarat itu dan menarik daun pintu almari.

Krakkk...

Daun almari terbuka.

Kosong. Hanya baju kurung lama, kain batik yang sudah pudar, beberapa kotak kecil bertulis tulisan tangan: "Gelang kahwin", "Cincin Emas", dan satu kotak hitam kecil tanpa label.

Dia menarik keluar kotak hitam itu. Di dalamnya ada sebuah diari lusuh dan sekeping gambar lama. Gambar itu kabur, tetapi dia cam wajah datuk dan neneknya. Dan seorang perempuan lain-berdiri di hujung barisan-berwajah muram, dipangkah dengan pen merah.

Dengan tangan menggigil, dia buka diari itu.

"Hari ini, aku tekad untuk halau dia dari hidup kami. Sudah lama dia ganggu rumah tangga kami. Hati isteri mana yang tidak terluka?"

"Dia ugut mahu datang rumah. Aku takkan benarkan. Biarlah dia tak pernah keluar dari almari itu. Biar dia sejuk dan reput di situ..."

Naufal terhenti membaca. Tangannya terketar. Nafasnya sesak.

"biar dia sejuk dan reput di situ."

Dia pandang ke dalam almari sekali lagi.

Di bahagian bawah, ada satu papan kayu berlubang sedikit. Dengan cepat, dia tarik keluar papan itu.

Dan di situlah, Naufal menemui rahsia terbesar rumah itu.

Rangka manusia dalam posisi meringkuk, seperti dipaksa masuk dalam ruang sempit. Rambutnya masih melekat pada tengkorak. Pakaian yang dipakai sudah menjadi cebisan kain. Bau busuk mula menusuk hidung.

Naufal melompat ke belakang, muntah.

Jeritannya mengejutkan Cikgu Samiran yang berlari masuk ke bilik. Saat matanya melihat apa yang terbongkar dalam almari itu, wajahnya pucat lesi.

"Bah siapa dia ni?" soal Naufal dengan suara menggeletar.

Cikgu Samiran diam lama. Akhirnya dia duduk di lantai, tubuhnya menggigil.

"Itu... Ratna. Dia bekas kekasih aku... sebelum aku kahwin dengan nenek kamu. Dia datang semula, ugut nak rampas aku balik... Nenek kamu cemburu. Mereka bergaduh... dan malam itu... Ratna tak pernah keluar dari bilik ini."

Air mata tua itu jatuh satu-satu.

"Aku... aku simpan rahsia ini selama tiga puluh tahun..."

Naufal hanya mampu menangis. Dia segera hubungi polis menggunakan telefonnya.


Siasatan dijalankan. Mayat Ratna disahkan milik seorang wanita berumur awal tiga puluhan yang dilaporkan hilang sekitar tahun 1992. Kes akhirnya dibuka semula.

Cikgu Samiran ditahan untuk siasatan lanjut, namun kes tersebut ditutup kerana faktor usia dan masalah kesihatan mental yang kronik. Namun seluruh kampung tidak pernah tenang selepas itu.

Almari kayu itu dibakar, tetapi rumah pusaka itu tetap sepi dan berhantu. Ramai penduduk melaporkan terdengar suara perempuan menangis dari dalam rumah walaupun ia telah dikosongkan.

Naufal tidak pernah pulang ke kampung Sungai Putih lagi.

Dan hingga ke hari ini, suara dari dalam almari itu masih dikenang... sebagai suara kebenaran yang selama ini terperangkap dalam gelap.


Tamat

Penulis: Sahril

Kabus Dari Bukit Melingsung

 Bukit Melingsung bukanlah tempat yang asing bagi penduduk kampung sawangan. Bukit itu menjulang sunyi di sebelah timur kampung, dipenuhi pokok-pokok tua yang berdiri seperti penjaga zaman. Namun, sejak akhir-akhir ini, bukit utu menjadi bualan, bukan kerana keindahannya, tetapi kerana kabus tebal yang turun saban malam tanpa mengira musim.

Hafizi, seorang juruteknik yang baru ditugaskan ke kampung itu untuk menyelenggara menara telekomunikasi di puncak bukit, tidak pernah ambil pusing akan cerita-cerita lama. Baginya, cerita seram hanyalah dongengan orang kampung yang terlalu lama tinggal dalam dunia mereka sendiri.

"Jangan naik ke atas lepas jam tujuh malam, dik," pesan Pak Ngah Jalil, penjaga stor kampung yang sudah uzur.

"Kenapa Pak Ngah?"

"Entah... kabus dia lain macam. Macam... hidup."

Hafizi tersenyum kecil. Dia tidak mudah percaya benda-benda begitu.


Pada malam kejadian, Hafizi naik ke bukit seorang diri. Lampu motosikalnya menyuluh jalan tanah merah yang berliku. Malam itu sunyi. Angin hanya menyapa perlahan. Langit tanpa bulan. Dia perlu periksa isyarat dan alat pemancar yang dikatakan terganggu sejak dua hari lepas.

Semakin dia mendaki, kabus mula muncul perlahan-lahan, menyelimuti laluan depan. Mula-mula nipis, tetapi semakin dia naik, semakin tebal. Sehinggakan cahaya lampunya cuma menerangi beberapa meter he hadapan sahaja.

Ketika dia sampai ke puncak. motosikalnya mati tiba-tiba. Enjin terhenti seperti dicabut hayatnya.

"Ah, baterike?" gumamnya.

Dia cuba hidupkan kembali. Gagal.

"Tak apa. Aku jalan kaki je sampai menara," katanya sambil membawa lampu suluh kecil dari beg sandangnya.


Menara telekom hanya 300 meter dari tempat dia berhenti. Tapi kabus... kabus itu semakin pelik. Ia bergerak seperti ombak yang menyapu tanah. Dan... ada satu bau yang menusuk, bau bunga melur bercampur darah basi.

Langkah Hafizi makin perlahan.

Tiba-tiba, dia terdengar bunyi ranting patah di belakang.

Dia menoleh. Kosong.

Langkahnya diteruskan. Tapi kali ini, bunyi itu makin kerap. Seolah-olah... ada sesuatu yang mengikut.

Dia berhenti. Menarik nafas.

"Kalau ada orang, aku cuma nak baiki alat. Tak kacau sesiapa..." bisiknya perlahan.

Sejurus selepas itu, angin bertiup kencang dari arah kiri, mengangkat kabus tebal menjadi pusaran. Dari celah-celah kabus itu, muncul siluet tubuh wanita, rambut panjang terurai, berpakaian putih lusuh.

Wajahnya tidak kelihatan. Tapi dia berdiri tegak... tidak bergerak.

Hafizi melangkah ke belakang. Jantungnya berdegup laju.

"Siapa kau?" jeritnya.

Tiada jawapan.

Perlahan-lahan wanita itu mengangkat tangannya dan menuding ke arah menara.

"Aku.... pernah disini..." suaranya seperti angin bergesel di celah daun, lemah tapi menggetarkan tulang belakang Hafizi.

"Aku... tak sempat pulang."


Hafizi ingin lari, tapi kakinya seakan melekat ke tanah. Tangannya menggigil. Lampu suluhnya tiba-tiba mati. Gelap. Hanya kabus dan kedinginan.

Kemudian, dia terdengar suara lain, tangisan. Lembut pada awalnya, namun bertukar menjadi rintihan menyayat hati. Ia datang dari segenap arah.

Tiba-tiba, kabus di sekelilingnya terbelah. Dia melihat bayangan seperti sebuah kereta terbabas, terjunam di cerun bukit. Seorang wanita menghulur tangan dari celah tingkap yang pecah, darah menitis dari dahinya.

"Aku... mati di sini."

Hafizi menutup matanya. "Bismillahirrahmanirrahim..."

Apabila dia membuka mata semula, segalanya hilang. Kabus lenyap perlahan. Motosikalnya kembali menyala tanpa disentuh. Menara di hadapan menyala terang.


Keesokan paginya, Hafizi turun ke kampung dan terus ke rumah Pak Ngah Jalil.

"Pak Ngah, ada orang kemalangan kat bukit ni tak, dulu?"

Pak Ngah diam seketika. Matanya kelihatan berkaca.

"Ada. Lima tahun dulu. Seorang cikgu dari Kota Belud. Waktu tu malam. Dia ambil jalan pintas turun bukit. Keretanya terbalik, terbakar. Mayat dia tak pernah dijumpai... hanya serpihan tulang dan loket."

"Pak Ngah, loket dia... berbentuk hati?"

Pak Ngah, mengangguk.

Hafizi keluarkan loket itu dari poket bajunya. "Saya jumpa ini... tergantung di pagar menara."

Pak Ngah menggigil. "Itulah dia..."


Sejak malam itu, Hafizi tidak pernah naik ke Bukit Melingsung selepas senja. Dan kabus aneh itu? masih muncul... sesekali. Tapi tidak pernah mengganggu sesiapa lagi.

Cuma... setiap kali kabus turun, bau bunga melur dan darah akan mengisi udara. Tanda bahawa roh wanita itu... masih belum benar-benar pergi.



TAMAT

Penulis: Sahril

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi

Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu...