Sabtu, 19 Julai 2025

Senyuman Dari Tingkap Rumah Kosong

 Di satu kawasan perkampungan terpencil di pedalaman sarawak, terdapat sebuah rumah kayu tua yang sudah lama ditinggalkan. Rumah itu berdiri megah di atas tanah tinggi di hujung kampung Madu, dikelilingi pohon-pohon tua dan lalang yang tidak terurus. Penduduk kampung sudah lama tidak mendekatinya, malah anak-anak kecil dilarang bermain berhampiran kawasan tersebut. Rumah itu dikenali sebagai Rumah Puun.

Tiada siapa tahu siapa pemilik asal rumah itu. Cuma yang pasti, sudah lebih dua puluh tahun rumah itu kosong. Namunsesekali, akan ada cerita ganjil yang tersebar. Ada yang mendakwa melihat senyuman manis dari balik tingkap bilik atas, walaupun rumah itu tidak berpenghuni.


"Jangan tegur kalau kau nampak apa-apa dari rumah itu," yang baru berpindah dari bandar Kucing untuk tinggal bersama selepas kehilangan kedua ibu bapanya dalam kemalangan.

Julian yang berusia 17 tahun tidak mudah percaya cerita-cerita lama begitu. Sebagai anak kota, dia menganggap semua itu hanyalah kepercayaan karut orang kampung.

Namun semuanya berubah pada malam kelima dia di kampung itu.


Malam itu, selepas makan malam, Julian mengambil keputusan untuk berjalan kaki seorang diri ke sungai kecil di belakang kampung. Langit mendung dan angin sejuk mula meniup perlahan. Ketika dia sedang melintas kawasan bukit kecil, dia melihat sesuatu yang membuatkan langkahnya terhenti.

Di tingkap atas rumah kosong itu,  jelas kelihatan seorang perempuan sedang tersenyum ke arahnya.

Senyuman itu sangat tenang, seolah-olah menyambut kedatangannya.

Julian terkedu. Dia cuba meyakinkan dirinya, mungkin hanya bayangan, mungkin ilusi optik dari cahaya bulan yang terlindung awan. Dia memalingkan badan dan cepat-cepat pulang ke rumah datuknya.

Namun sepanjang malam, wajah itu terus bermain di dalam fikirannya.


Keesokan paginya, Julian bertanya kepada seorang lelaki kampung yang sering membanting padi di tepi rumah mereka, Atok Apin.

"Tok, rumah atas bukit tu... pernah ada orang tinggal ka?"

Atok Apin diam seketika, lalu menjawab perlahan.

"Dulu ada. Seorang gadis nama Sarima. Cantik orangnya. Anak yatim piatu. Tinggal seorang diri selepas mak ayahnya meninggal dunia. Tapi dia... tak biasa dengan orang. Pendiam. Cuma senyum. Itu saja."

Julian menelan liur. "Apa jadi lepas tu?"

"Orang kampung jumpa dia... gantung diri dalam bilik atas rumah tu. Katanya... sebab dia dibuang cinta."


Rasa ingin tahu Julian makin memuncak. Malam itu, dia kembali ke kawasan rumah Puun. Kali ini dengan telefon bimbitnya, niatnya untuk rakam jika terlihat apa-apa. Bulan penuh memancarkan cahaya terang ke arah rumah tua itu.

Dia berdiri di seberang jalan. Lama dia menunggu.

Kemudian, seperti malam sebelumnya, muncul wajah gadis itu. Sarima. Senyumannya masih sama. Lembut. Seolah-olah meminta Julian mendekat.

Jantung Julian berdegup kencang. Kakinya melangkah tanpa dipaksa.

Dia menolak pintu depan rumah itu yang berderit kuat. Bau hapak menyambutnya. Tangga kayu menuju ke tingkat atas masih kukuh. Langkahnya perlahan-lahan naik.

Bilik itu berada di hujung koridor. Pintu separuh terbuka. Cahaya bulan menerobos masuk melalui tingkap, dan di sanalah, Sarima berdiri menghadapnya.

Rambut panjang terurai. Wajahnya pucat tapi cantik. Senyumannya... menusuk jiwa.


"Kenapa... kau panggil aku?" soal Julian perlahan.

Sarima tidak menjawab. Dia hanya memalingkan wajahnya ke arah dinding bilik.

Di dinding itu, Julian nampak lukisan-lukisan arang yang kasar dan kabur, wajah seorang lelaki. Di bawah lukisan itu, tertulis dengan tulisan tercalar: "Dia berjanji akan kembali. Tapi dia bohong."

Julian terpinga-pinga. "Siapa lelaki ni?"

Sarima akhirnya membuka mulut, suaranya sayu. "Namanya... Leman. Dia janji nak ambil aku jadi isteri. Tapi lepas dia ke bandar, dia tak pernah balik. Dia lupakan aku, Aku tunggu. Sampai akhirnya aku tak sanggup lagi."

Air mata mula mengalir di pipinya. Tapi senyumannya masih kekal.

"Aku masih tunggu... lelaki yang jujur."

Julian menggigil. Dia tahu itu bukan lagi manusia. Itu roh yang tidak tenang.

"Aku bukan leman..." bisik Julian. "Tapi... aku minta maaf untuk dia."

Sarima memandangnya lama. Lama sekali. Senyumannya berubah menjadi hampa.

"Kalau begitu... pergilah. Jangan kembali."


Esoknya, Julian demam selama tiga hari. Badannya panas, matanya merah, dan mulutnya terkumat-kamit menyebut nama Sarima berulang-ulang. Pakcik Langit memanggil seorang ustaz dari kampung sebelah untuk membacakan doa dan air penawar.

Selepas dia sembuh, Julian tidak pernah mendekati rumah Puun lagi. Dan wajah Sarima tidak pernah muncul lagi dari tingkap atas rumah kosong itu.

Namun.... sesekali , bila ada orang luar lalu kawasan itu, masih akan terdengar cerita baru...

"Aku nampak seorang perempuan senyum dari tingkap rumah tu malam tadi..."



TAMAT

Penulis: Sahril

Tiada ulasan:

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi

Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu...