Zafran berdiri di hadapan pintu kayu tua inap desa yang sudah mulai dimakan usia. Langit di atas Kundasang mulai kelabu, kabus perlahan menyelimuti lereng bukit. Suhu di luar jatuh menjelang senja, dan hanya ada bunyi unggas malam yang bersahutan. Dia menyewa inap desa itu sendirian untuk menyelesaikan skrip drama seram yang diminta produsernya-ironi yang tidak dia sedar bakal menjadi mimpi ngeri hidupnya.
Inap desa itu kelihatan sempurna dari luar, dikeliling pohon teh menghijau dan pemandangan Gunung Kinabalu yang mengagumkan. Tetapi penduduk tempatan memberitahu Zafran supaya "tidak buka pintu jika ada yang ketuk lebih dari tiga kali." Dia menganggapnya sebagai mitos kampung biasa.
Petang itu, selepas menyiapkan makan malam segera dan menghidupkan pemanas, Zafran duduk di ruang tamu sambil menaip. Sekitar jam 9 malam, ketukan pertama kedengaran.
Tok, tok, tok.
Dia menoleh ke pintu, Siapa pula malam-malam begini?
Zafran bangun perlahan dan mendekati pintu. Dia menjenguk melalui lubang kecil, tetapi tiada sesiapa di luar. Sunyi. Dia kembali duduk.
Tok, tok, tok.
Kali kedua. Jam menunjukkan 9:15 malam. Sekali lagi dia menjenguk. Tiada sesiapa.
Dia sudah mula rasa tidak sedap hati, lalu mengunci semua tingkap dan pintu. Tapi rasa ingin tahu membuat dia duduk semula di kerusi, telinganya tajam mendengar.
Tok, tok, tok.
Kali ketiga, Jantung Zafran berdegup laju. Dia tidak bangun kali ini. Cuba menenangkan diri. Mungkin bunyi angin. Mungkin bunyi ranting diketuk binatang.
Tapi kemudian...
Tok. Tok. Tok. Tok.
Kali keempat. Empat ketukan. Kali ini nadanya perlahan tapi dalam. Seperti ketukan dari dalam mimpi.
Zafran berdiri dan dengan penuh keberanian, dia membuka pintu secara mengejut.
Kosong. Kabus malam mula menebal di luar.
Dia menjerit kecil, "Siapa kat luar ni? Hoi! Jangan main-main!"
Tiada jawapan. Dia menutup dan menguncinya semula. Degupan jantungnya sukar dikawal. Dia mengambil air dan cuba menenangkan diri di ruang tamu.
Tok, tok, tok, tok, tok.
Lima kali. Jam menunjukkan tepat pukul 10 malam. Lima ketukan berturut-turut, jelas dan penuh tekanan.
Zafran kini tahu ini bukan angin. Bukan gurauan.
Dia ambil telefon untuk menghubungi pemilik inap desa-tetapi tiada talian. Dia cuba keluar melalui pintu belakang. Terkunci. Pintu seperti tidak boleh dibuka walau sudah dileraikan kuncinya. Seakan-akan dipateri oleh sesuatu yang tidak kelihatan.
Dia cuba melawan rasa takut. Duduk di ruang tamu sambil menggenggam telefon, walau tanpa isyarat.
Tok, tok, tok, tok, tok, tok.
Enam kali, Tepat 10:30 malam. Kini ketukan seperti datang dari dinding sisi rumah pula. Bukan dari pintu utama.
Dia memberanikan diri membuka langsir. Kosong.
Namun, dalam pantulan cermin tingkap itu, dia terlihat.... bayang seorang wanita berpakaian lusuh, berambut panjang menutupi wajah, berdiri betul-betul di belakangnya.
Dia berpaling pantas.
Kosong.
Zafran hampir pengsan. Tapi dia tahan. Dia merangkak ke sudut bilik dan membaca ayat-ayat yang dia masih ingat. Mulutnya terkumat-kamit. Dalam hati menyesal kerana tak ambil serius amaran orang kampung.
Tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok.
Tujuh kali. 11 malam.
Kini bunyi ketukan datang dari semua arah. Pintu. Tingkap. Dinding. Lantai kayu juga berdentum seolah-olah ada yang melompat di bawahnya.
Zafran menangis. Dia menjerit, "Apa kau nak?!"
Senyap.
Lima minit. Sepuluh minit. Tiada bunyi.
Dia bangun perlahan. Cuba menuju ke bilik untuk mengambil beg. Niatnya mahu keluar dari situ malam ini juga.
Tapi sebelum sempat dia menyentuh tombol bilik.
Tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok.
Lapan ketukan. Kali ini datang dari arah siling.
Dia pandang ke atas. Terdapat kesan tapak kaki hitam seakan basah. Jejaknya menghala ke ruang bilik air.
Zafran menggigil.
Tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok.
Sembilan. Jam hampir 12 tengah malam.
Zafran memeluk lutut. Cahaya lampu mulai berkelip. Suhu jadi amat dingin. Nafasnya menghembus kabus. Di luar, kabus makin pekat dan malam seperti tak berpenghujung.
Dia tiba-tiba terdengar suara berbisik...
"Jangan buka pintu itu, Zafran. Dia belum cukup dua belas."
Dia berbisik, "Apa maksudnya?"
Tiada jawapan.
Tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok.
Sepuluh kali. Jantung Zafran hampir terhenti. Dia mula terdengar suara tangisan perempuan.
Tangisan yang pilu. Putus asa. Seperti roh yang terperangkap.
Dia menutup telinga.
Tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok.
Sebelas kali. Suara itu kini menjerit di telinganya.
"Buka pintu tu, Zafran... Bukaaa!"
Zafran merangkak ke dapur. Cuba pecahkan tingkap dengan kerusi. Tapi kerusi itu seperti menembusi kaca. Tidak memberi kesan. Dia tidak lagi tahu mana realiti, mana mimpi.
Tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok, tok.
Dua belas kali.
Pintu depan tiba-tiba terbuka sendiri perlahan-lahan... berkeriut... bunyinya menggegar jiwa.
Di hadapan pintu, berdiri perempuan yang sama dalam pantulan tadi. Wajahnya kosong. Matanya hitam legam. Di dadanya tergantung nombor bilik - 12.
Dia menghulurkan tangan perlahan.
Zafran tak mampu menjerit.
Dan saat perempuan itu menyentuh dahinya, semuanya gelap.
Keesokan paginya, pemilik inap desa tiba untuk menghantar sarapan seperti biasa. Dia pelik melihat pintu hadapan sedikit terbuka.
Apabila masuk, tiada sesiapa.
Kecuali skrip atas meja bertajuk:
"12 kali ketuk pintu"
Dengan nota kecil bertulis:
"Dia hanya akan pergi... bila cukup dua belas."
Tamat
Penulis: Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan