Bukit Melingsung bukanlah tempat yang asing bagi penduduk kampung sawangan. Bukit itu menjulang sunyi di sebelah timur kampung, dipenuhi pokok-pokok tua yang berdiri seperti penjaga zaman. Namun, sejak akhir-akhir ini, bukit utu menjadi bualan, bukan kerana keindahannya, tetapi kerana kabus tebal yang turun saban malam tanpa mengira musim.
Hafizi, seorang juruteknik yang baru ditugaskan ke kampung itu untuk menyelenggara menara telekomunikasi di puncak bukit, tidak pernah ambil pusing akan cerita-cerita lama. Baginya, cerita seram hanyalah dongengan orang kampung yang terlalu lama tinggal dalam dunia mereka sendiri.
"Jangan naik ke atas lepas jam tujuh malam, dik," pesan Pak Ngah Jalil, penjaga stor kampung yang sudah uzur.
"Kenapa Pak Ngah?"
"Entah... kabus dia lain macam. Macam... hidup."
Hafizi tersenyum kecil. Dia tidak mudah percaya benda-benda begitu.
Pada malam kejadian, Hafizi naik ke bukit seorang diri. Lampu motosikalnya menyuluh jalan tanah merah yang berliku. Malam itu sunyi. Angin hanya menyapa perlahan. Langit tanpa bulan. Dia perlu periksa isyarat dan alat pemancar yang dikatakan terganggu sejak dua hari lepas.
Semakin dia mendaki, kabus mula muncul perlahan-lahan, menyelimuti laluan depan. Mula-mula nipis, tetapi semakin dia naik, semakin tebal. Sehinggakan cahaya lampunya cuma menerangi beberapa meter he hadapan sahaja.
Ketika dia sampai ke puncak. motosikalnya mati tiba-tiba. Enjin terhenti seperti dicabut hayatnya.
"Ah, baterike?" gumamnya.
Dia cuba hidupkan kembali. Gagal.
"Tak apa. Aku jalan kaki je sampai menara," katanya sambil membawa lampu suluh kecil dari beg sandangnya.
Menara telekom hanya 300 meter dari tempat dia berhenti. Tapi kabus... kabus itu semakin pelik. Ia bergerak seperti ombak yang menyapu tanah. Dan... ada satu bau yang menusuk, bau bunga melur bercampur darah basi.
Langkah Hafizi makin perlahan.
Tiba-tiba, dia terdengar bunyi ranting patah di belakang.
Dia menoleh. Kosong.
Langkahnya diteruskan. Tapi kali ini, bunyi itu makin kerap. Seolah-olah... ada sesuatu yang mengikut.
Dia berhenti. Menarik nafas.
"Kalau ada orang, aku cuma nak baiki alat. Tak kacau sesiapa..." bisiknya perlahan.
Sejurus selepas itu, angin bertiup kencang dari arah kiri, mengangkat kabus tebal menjadi pusaran. Dari celah-celah kabus itu, muncul siluet tubuh wanita, rambut panjang terurai, berpakaian putih lusuh.
Wajahnya tidak kelihatan. Tapi dia berdiri tegak... tidak bergerak.
Hafizi melangkah ke belakang. Jantungnya berdegup laju.
"Siapa kau?" jeritnya.
Tiada jawapan.
Perlahan-lahan wanita itu mengangkat tangannya dan menuding ke arah menara.
"Aku.... pernah disini..." suaranya seperti angin bergesel di celah daun, lemah tapi menggetarkan tulang belakang Hafizi.
"Aku... tak sempat pulang."
Hafizi ingin lari, tapi kakinya seakan melekat ke tanah. Tangannya menggigil. Lampu suluhnya tiba-tiba mati. Gelap. Hanya kabus dan kedinginan.
Kemudian, dia terdengar suara lain, tangisan. Lembut pada awalnya, namun bertukar menjadi rintihan menyayat hati. Ia datang dari segenap arah.
Tiba-tiba, kabus di sekelilingnya terbelah. Dia melihat bayangan seperti sebuah kereta terbabas, terjunam di cerun bukit. Seorang wanita menghulur tangan dari celah tingkap yang pecah, darah menitis dari dahinya.
"Aku... mati di sini."
Hafizi menutup matanya. "Bismillahirrahmanirrahim..."
Apabila dia membuka mata semula, segalanya hilang. Kabus lenyap perlahan. Motosikalnya kembali menyala tanpa disentuh. Menara di hadapan menyala terang.
Keesokan paginya, Hafizi turun ke kampung dan terus ke rumah Pak Ngah Jalil.
"Pak Ngah, ada orang kemalangan kat bukit ni tak, dulu?"
Pak Ngah diam seketika. Matanya kelihatan berkaca.
"Ada. Lima tahun dulu. Seorang cikgu dari Kota Belud. Waktu tu malam. Dia ambil jalan pintas turun bukit. Keretanya terbalik, terbakar. Mayat dia tak pernah dijumpai... hanya serpihan tulang dan loket."
"Pak Ngah, loket dia... berbentuk hati?"
Pak Ngah, mengangguk.
Hafizi keluarkan loket itu dari poket bajunya. "Saya jumpa ini... tergantung di pagar menara."
Pak Ngah menggigil. "Itulah dia..."
Sejak malam itu, Hafizi tidak pernah naik ke Bukit Melingsung selepas senja. Dan kabus aneh itu? masih muncul... sesekali. Tapi tidak pernah mengganggu sesiapa lagi.
Cuma... setiap kali kabus turun, bau bunga melur dan darah akan mengisi udara. Tanda bahawa roh wanita itu... masih belum benar-benar pergi.
TAMAT
Penulis: Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan