Memaparkan catatan dengan label kisah hantu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kisah hantu. Papar semua catatan

Isnin, 14 Julai 2025

Sumpahan Di Rumah Sewa

 Ketika Nurul Izzah menerima tawaran kerja sebagai guru sandaran di sebuah sekolah pedalaman di telupid, sabah, dia tidak sangka kehidupan barunya akan diselubungi ketakutan. Dia menyewa sebuah rumah kayu lama di kampung Bukit Sapi, terletak kira-kira lima kilometer dari pekan kecil. Rumah itu dibina atas tanah tinggi, dikelilingi pokok getah dan semak tebal. Pemiliknya, seorang wanita tua bernama Mak Timah, menawarkan harga sewa yang sangat murah, terlalu murah untuk rumah sebesar itu.

"Rumah ni kosong sudah lama," kata Mak Timah ketika menyerahkan kunci. "Tapi kalau ada apa-apa... baca-bacalah ayat suci sikit, ya, nak?"

Kata-kata itu hanya disambut dengan senyuman kelat oleh Nurul Izzah. Dia tidak gemar dengan cerita seram. Baginya, semua itu hanya dongeng orang kampung.

Namun, segalanya mula berubah sejak malam pertama.

Pada malam itu, ketika hujan renyai turun, Nurul Izzah sedang mengemas buku-buku di ruang tamu. Tiba-tiba lampu bergoyang perlahan, dan bunyi seperti cakaran halus kedengaran di tingkap. Dia bangun dan menjenguk ke luar, tapi tiada apa-apa yang kelihatan selain kabus nipis menyelimuti halaman.

Saat dia berpaling semula, dia terdengar suara berbisik di belakangnya. Perlahan, nyaring, seperti suara perempuan tua. "Kau tak patut masuk sini..."

Dia terkaku. Suara itu jelas, seolah-olah betul-betul dekat. Tapi dia tinggal seorang diri.

Hari-hari seterusnya, gangguan menjadi semakin teruk. Lampu menyala sendiri, pintu terbuka tengah malam, dan ada malam tertentu dia terdengar bunyi orang berjalan di loteng walaupun rumah itu cuma satu tingkat.

Pernah sekali, ketika sedang mandi, cermin bilik air tiba-tiba retak, seolah-olah diketuk dari dalam. Dan malam yang paling dia tidak dapat lupakan - ketika dia terbangun dan mendapati seorang perempuan tua duduk di hujung katilnya. Perempuan itu berpakaian kebaya lusuh, rambutnya mengurai menutupi wajah.

Nurul Izzah menjerit, tapi tiada suara keluar. Badannya kaku. Dia hanya mampu menangis dalam diam sementara makhluk itu perlahan-lahan lenyap seperti kabus.

Keesokan harinya, Nurul Izzah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Tok Sidang kampung, Pak Manap.

"Rumah tu dah lama tak ada orang duduk." Kata Pak Manap sambil mengeluh. "Dulu, tuan rumah asal, suami Mak Timah, meninggal dalam rumah tu... tergantung diri. Mereka kata dia kena rasuk."

Nurul Izzah menggigil.

"Tapi itu bukan yang paling menakutkan. Isteri dia, yang sebenarnya lebih 'kuat'. Orang kampung panggil dia Bomoh Sia. Dia pernah bersumpah, sesiapa yang masuk rumah tu tanpa restu, akan dihantui selamanya. Tak ramai tahu benda ni, sebab Mak Timah tak pernah cerita."

Nurul Izzah rasa dunia berpusing. Dia teringat kembali bisikan malam pertama, "kau tak patut masuk sini..."

"Jadi, macam mana?" tanya Nurul Izzah, hampir putus asa.

Pak Manap termenung sejenak. "Kalau kau nak keluar dari sumpahan tu, kau kena pulangkan balik apa yang tak patut kau ambil. Kau ada usik apa-apa dalam rumah tu? Barang lama?"

Nurul Izzah teringat satu kotak kayu kecil yang dijumpainya dalam almari bilik tidur seminggu lalu. Kotak itu ada ukiran pelik dan bau kemenyan. Dia membukanya dan mendapati sebuah gelang tembaga dan cebisan kain kuning. Tanpa fikir panjang, dia menyimpannya dalam laci.

Malam itu juga, dia pulang dan mencari kotak tersebut. Hatinya berdebar kencang apabila melihat kotak itu sudah terbuka, gelang dan kain kuning hilang.

Tiba-tiba angin kencang meniup masuk dari tingkap, dan lampu padam serta-merta. Suasana menjadi gelap gelita. Dalam gelap, Nurul Izzah terdengar suara tangisan lemah, tapi semakin lama semakin kuat. Tangisan itu berubah menjadi jeritan marah.

Dia merangkak ke penjuru bilik sambil membaca ayat kursi berulang kali. Nafasnya pendek. Suhu bilik menjadi semakin sejuk.

Dari balik kegelapan, satu sosok menjelma. Perempuan berkebaya tadi, wajahnya kini jelas kelihatan. Wajah yang reput, mata putih melotot, mulut robek hingga ke pipi.

"Kau... ambil... milik... aku..."

Nurul Izzah menjerit sekuat hati.

Keesokan harinya, orang kampung menjumpai Nurul Izzah terbaring tidak sedarkan diri di hadapan pintu rumah Tok Sidang, dengan kotak kayu di tangannya. Bila dia sedar, dia cuma mampu menangis.

Dia segera berpindah dan tidak kembali ke Telupid lagi.

Rumah itu kekal kosong sehingga hari ini. 

Orang kampung tahu, walau diberi sewa  percuma sekalipun, tiada siapa sanggup tinggal di rumah sumpahan itu.


Tamat

penulis: Sahril

Ahad, 13 Julai 2025

Panggilan Dari Nombor Tidak Dikenali

 Jam sudah melewati 12:47 tengah malam ketika telefon bimbit Arina berdering. Dia sedang baring di atas tilam nipis di bilik sewa kecilnya di sebuah rumah papan dua tingkat di kampung Gading, sebuah perkampungan terpencil di kaki bukit Meromok, Ranau.

Bunyi deringan itu seolah menyentap kesunyian malam. Arina mengerutkan dahi sambil mencapai telefon. Tertera di skrin: Nombor Tidak Dikenali. Tidak berfikir panjang, dia menolak untuk menjawab dan meletakkan semula telefon di sisi.

Baru sahaja dia memejamkan mata semula, telefon berbunyi lagi - nombor yang sama. Kali ini, dia angkat.

"Hello?"

Tiada suara di hujung talian. Hanya bunyi desiran halus seperti orang sedang bernafas. Lalu talian terputus sendiri.

Arina duduk tegak. Degupan jantungnya mula berubah. Dia berbisik perlahan, "Mungkin salah nombor..."

Namun, dalam hati kecilnya, ada rasa tidak sedap. Beberapa minit kemudian, telefon berdering lagi. Nombor itu masih tidak dikenali. Dia membiarkan sahaja kali ini, tetapi satu notifikasi masuk - mesej suara.

Dengan rasa ingin tahu dan gementar, Arina membuka mesej suara itu. Bunyi nafas yang sama kedengaran, tetapi kali ini disusuli suara bisikan halus, "...tolong aku... Arina...."

Dia terdiam. Jantungnya seolah berhenti berdegup seketika. Siapa yang tahu namanya? Dia hanya menyewa di sini dua bulan, bekerja sebagai pembantu kedai runcit Pak Sarib di pekan kecil.

Arina cuba menghubungi nombor itu semula, tetapi mesej sistem menyatakan: "Nombor ini tidak wujud."


Keesokan harinya, dia bertanya kepada Pak Sarib tentang pemilik rumah sewa itu. Lelaki tua itu menggaru dagunya yang dipenuhi janggut kelabu.

"Dulu rumah itu kosong lama... sebelum kau, ada sorang gadis nama Nadra sewa. Dia kerja sebagai guru ganti di sekolah rendah kampung ni..."

"Lepas tu?" tanya Arina, jantungnya berdegup kencang.

Pak Sarib terdiam sebentar sebelum berkata perlahan, "Dia hilang... tiga tahun sudah. Keluar dari rumah tu waktu malam, kata nak balik ke rumah ibunya di Keningau... tapi tak pernah sampai. Sampai hari ni, tak pernah dijumpai."

"Mayat pun tak dijumpai?"

Pak Sarib menggeleng. "Cuma kereta dia dijumpai di kawasan belukar dekat Bukit Meromok. Telefon dia... tak pernah dijumpa."

Arina rasa perutnya memulas. Bulu romanya meremang. Adakah itu suara Nadra?


Malam berikutnya, Arina sengaja tidak mematikan telefonnya. Dia tidur dengan lampu terbuka, namun matanya sukar lelap. Jam 1:03 pagi, deringan itu datang semula.

Dengan tangan terketar-ketar, dia menjawab. "Siapa ni?"

Ada suara di hujung sana. Kali ini lebih jelas, suara perempuan.

"Aku sejuk... gelap di sini. Aku tak tahu jalan keluar... aku masih di bukit..."

"Siapa awak?!"

"Aku Nadra... tolong... tolong sampaikan kepada mak aku... aku tak pernah tinggalkan dia... aku masih di sini..."

Talian mati. Arina terkedu. Nafasnya sesak. Dia segera bangun, membuka jendela. Dari jauh, dia dapat melihat bayang Bukit Meromok yang diselubungi kabus malam. Di lereng bukit itu... seolah ada kelip cahaya samar- seolah-olah seseorang sedang berdiri memandang ke arah rumahnya.


Keesokan paginya, Arina mengambil keputusan nekad. Dia memandu ke balai polis Ranau dan menceritakan semua. Seorang anggota berpangkat Sarjan mendengar dengan teliti sebelum berkata:

"Kami pernah cari Nadra di kawasan itu. Tapi kalau kamu ada petunjuk baru... kita boleh cuba semula."

Pasukan kecil dihantar ke Bukit Meromok. Arina ikut serta. Dengan rasa yang sukar digambarkan, dia menunjukkan lokasi berdasarkan mimpi dan bisikan dari panggilan.

Selepas beberapa jam pencarian, mereka menemui sesuatu.

Di bawah timbunan daun dan tanah, tersembunyi sebuah beg tangan lusuh. Di dalamnya terdapat Kad Pengenalan, telefon lama berdebu... dan seutas rantai emas berloket kecil bertulis: "Untuk Nadra - dari Ibu".

Mata Arina berkaca. Pasukan forensik segera dipanggil, dan siasatan penuh dibuka semula.


Tiga hari selepas itu, Arina menerima satu panggilan terakhir dari nombor tidak dikenali.

"Terima kasih..." bisik suara itu. "Akhirnya aku... akan pulang."

Kemudian talian senyap. Kali ini benar-benar senyap. Tiada lagi panggilan selepas itu. Tiada lagi mimpi aneh. Tiada bayang di lereng bukit.

Nadra akhirnya ditemui, walau hanya jasad yang tinggal, sekurang-kurangnya dia pulang.

Dan bagi Arina, malam-malam sunyinya di kampung Gading tidak lagi dihantui bisikan dari nombor yang tidak dikenali.


Tamat.

Penulis: Sahril

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi

Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu...