Kampung Murni Indah, terletak jauh di pedalaman daerah Kudang, bukanlah tempat yang mudah dijumpai di peta. Kampung ini dikelilingi hutan tua dan bukit kecil, dengan hanya satu jalan tanah merah yang menghubungkannya ke jalan besar. Di hujung kampung, berdiri sebuah rumah lama yang sering menjadi bualan orang kampung - rumah terakhir di hujung kampung.
Rumah itu sudah lama ditinggalakn. Atapnya berlumut, jendela kayunya pecah, dan pagar usangnya berderit bila ditiup angin. Tidak ada sesiapa yang berani mendekatinya selepas senja. Kononnya, rumah itu menyimpan kisah yang tidak pernah diceritakan secara penuh. Ada yang kata pernah terdengar tangisan bayi pada waktu malam. Ada pula yang pernah melihat cahaya pelita menyala sendiri di dalamnya.
Namun bagi Syafiq, seorang pelajar jurusan seni bina dari universiti di bandar, cerita-cerita itu hanyalah mitos kampung yang biasa. Dia tiba ke kampung tersebut untuk menjalani kajian lapangan bagi projek akhir tahun - mendokumentasi rumah-rumah warisan lama di kawasan luar bandar. Rumah terakhir di hujung kampung itu menarik perhatiannya kerana keunikannya yang bercirikan gabungan seni bina melayu lama dan unsur kolonial.
"Jangan pergi ke rumah tu," pesan Pak Ngah Rahman, seorang penduduk tua kampung ketika melihat Syafiq berjalan ke arah rumah tersebut dengan kamera dan buku nota.
"Kenapa, Pak Ngah? saya cuma nak ambil gambar dan ukur saiz rumah saja," jawab Syafiq sambil tersenyum.
"Rumah tu bukan kosong. Dia tunggu..."
Syafiq tidak sempat mendengar ayat terakhir Pak Ngah. Dia sudah pun melangkah ke kawasan rumah usang itu.
Pintu pagar kayu itu terayun sendiri walaupun tiada angin. Syafiq menolak perlahan dan melangkah masuk ke laman rumah yang dipenuhi daun kering. Dia mengangkat kamera dan mengambil beberapa gambar.
Setibanya di beranda, Syafiq rasa seperti dia sedang diperhatikan. Bahunya terasa berat, tapi dia menepis perasaan itu. Rumah ini penting untuk projeknya. Dia membuka pintu rumah yang tidak berkunci. Bunyi engsel berkarat meraung seperti suara seseorang sedang menahan kesakitan.
Di dalam rumah itu, keadaannya tidak seburuk yang disangka. Masih ada perabot lama - meja makan kayu, kerusi rotan, dan sebuah almari cermin tinggi. Namun semuanya dipenuhi debu tebal. Di ruang tamu, tergantung satu potret keluarga. Gambar seorang lelaki, seorang wanita dan seorang budak perempuan yang sedang senyum memandang ke arah kamera. Tapi yang anehnya, mata budak perempuan dalam gambar itu seolah-olah mengikuti gerakan Syafiq.
Syafiq mengeluh, mingkin kerana terlalu penat. Dia duduk sebentar di kerusi kayu. Ketika itulah dia terdengar bunyi tapak kaki kecil berlari di tingkat atas.
Degup jantungnya mula laju. "Mungkin tikus," fikiranya.
Dia bangkit dan berjalan ke tangga, langkahnya perlahan. Setiap anak tangga yang dipijak berbunyi renyuk dan berkeriuk. Sampai di atas, dia melihat lorong pendek yang menuju ke tiga pintu. Semuanya tertutup.
Dia membuka pintu pertama - kosong.
Pintu kedua - sebuah bilik tidur usang, masih ada katil dan kelambu berhabuk.
Pintu ketiga - berkunci.
Namun sebelum sempat dia beredar, dia terdengar suara halus dari sebalik pintu itu.
"Mainlah dengan aku..."
Syafiq membatu. Suara itu jelas suara budak kecil - tapi nadanya perlahan, seolah-olah mendayu dan menggoda. Dia mundur satu langkah, lalu bunyi ketukan kuat dari belakang membuat dia berpaling.
Tiada sesiapa.
Dia turun tergesa-gesa ke bawah, tetapi mendapati pintu utama rumah itu kini.... tertutup rapat.
Dan dikunci dari luar.
Syafiq mula panik. Dia menumbuk pintu, cuba menolak jendela - semuanya seperti tidak berfungsi. Cahaya matahari mula merendah. Rumah itu kini mula terasa lebih gelap dan lembap.
Tiba-tiba, lampu minyak di sudut menyala sendiri. Suasana dalam rumah itu menjadi suram dengan cahaya jingga yang berkelip-kelip. Dari arah tangga, terdengar bunyi gelak kecil - budak perempuan.
"Awak tak sepatutnya masuk sini..."
Syafiq berpaling, dan di hadapannya berdiri seorang budak perempuan dalam baju tidur lama, rambut panjang menutup sebahagian wajahnya. Matanya kosong, bibirnya biru. Dia memegang sebuah anak patung koyak.
"Awak nak keluar?" soal budak itu.
Syafiq hanya mampu angguk.
"Main dengan saya dulu. Kalau awak menang... awak boleh keluar."
"Main... apa?" suara Syafiq menggeletar.
"Petak umpat..." jawab budak itu, sebelum dia hilang di balik tangga dengan tawa nyaring.
Tanpa sedar, seluruh ruang rumah berubah. Dindingnya seperti hidup - bernafas. Syafiq terduduk di lantai, menutup telinganya dari suara-suara aneh yang kedengaran. Tiba-tiba, semua lampu padam.
Gelap.
Hening.
Kemudian pintu utama terbuka sendiri dengan bunyi kuat.
Syafiq tidak menoleh ke belakang. Dia bangkit dan berlari keluar dari rumah itu sekuat hati, merempuh daun-daun kering dan rumput tinggi. Nafasnya tercungap-cungap. Dia terus berlari hingga sampai ke rumah Pak Ngah Rahman.
"Pak Ngah! Rumah tu... budak tu... dia..." Syafiq tidak mampu meneruskan kata-katanya.
Pak Ngah hanya memandangnya sambil menghela nafas.
"Kamu dah nampak dia. Budak perempuan tu anak tuan rumah dulu. Mati dalam kebakaran. Mayat dia tak pernah jumpa. Sejak tu, sesiapa yang masuk rumah tu... kalau tak kuat semangat, takkan keluar semula. Kamu bernasib baik."
Syafiq pulang ke bandar esoknya tanpa mengambil apa-apa gambar atau ukuran rumah itu. Dia serahkan projek kepada pensyarah dengan nota ringkas - "Rumah terakhir itu bukan untuk dikaji. Ia untuk dibiarkan sendiri, seperti mana ia telah membiarkan masa berhenti di dalamnya."
Dan rumah itu terus kekal di hujung kampung... menanti pengunjung seterusnya.
Tamat
Penulis: Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan