Pagi itu, Aina memandu menuju ke kampung asal neneknya di Ranau. jauh di pendelaman, terletak sebuah rumah kayu usang yang sudah lama tidak didiami. Di sinilah segala kisah bermula-di sinilah pasangan cermin itu pernah disimpan.
Dia ditemani oleh Faiz, teman lelakinya, yang akhirnya percaya setelah melihat sendiri gambar-gambar aneh yang muncul tanpa sebab di telefon Aina. Gambar-gambar yang terus bertambah setiap malam, seolah-olah makhluk itu merakam mereka dalam diam.
Sebaik tiba di kampung, mereka disambut oleh Tok Biah, jiran lama arwah nenek Aina yang masih hidup dan uzur. Matanya kabur, namun dia seperti tahu kedatangan Aina lebih awal.
"Kamu cari cermin tu, kan? Yang satu dah terjaga... yang satu lagi... sedang menunggu."
Aina mengangguk.
Tok Biah menarik nafas panjang. "Dulu arwah nenek kamu simpan dua. Satu pecah masa kebakaran. Tapi waktu rumah dah tinggal abu... satu lagi masih utuh. Tapi tak ada sesiapa sanggup simpan, jadi ia dikuburkan. Di belakang rumah ni."
Mereka pergi ke belakang rumah lama arwah nenek itu. Tanahnya ditumbuhi semak-samun. Tok Biah menunjukkan satu kawasan tanah berlubang kecil-seperti pernah digali baru-baru ini.
"Tak mungkin, bisik Aina.
Faiz mengambil cangkul dari bonet kereta dan mula menggali. Tidak lama kemudian, mata cangkul terhentak sesuatu yang keras. Mereka bersama-sama membersihkan tanah... dan kelihatan sebuah bingkai kayu usang.
Cermin
Cermin itu dibalut kain hitam tebal dan diselaputi tanah. tetapi apabila Aina menyentuh bingkainya-nafasnya seperti terhenti seketika.
Dia terdengar suara... dari dalam fikirannya.
"Akhirnya... kau datang juga."
Mereka membawa cermin itu ke dalam rumah lama dan meletakkannya di ruang tamu. Faiz mahu memecahkannya serta-merta, tapi Aina tiba-tiba menjerit, "Jangan!"
Dia tidak tahu kenapa, tapi tubuhnya tidak mampu bergerak, seolah-olah dipaku ke lantai. Matanya tidak dapat beralih dari cermin itu.
Dan bayang di dalamnya... bukan dirinya.
Ia seperti makhluk yang mengenakan wajah Aina-tetapi matanya tiada kelopak, bibirnya panjang hingga ke pipi, dan ia tersenyum tanpa berhenti.
"Jika kau musnahkan aku... kau juga akan binasa. Aku ada di mana-mana."
Tiba-tiba, Faiz menjerit.
Aina menoleh, dan melihat Faiz diheret ke dalam bayangan lantai, seolah-olah lantai rumah menjadi permukaan air yang menyerap tubuhnya.
Aina berlari memegang tangan Faiz dan menariknya semula, berjaya menyelamatkannya sebelum tubuh Faiz hilang sepenuhnya.
Tapi kini mereka tahu...
Cermin itu bukan lagi sekadar objek. Ia sudah menjadi portal.
Aina akhirnya bersetuju dengan cadangan Tok Biah: mereka perlu kembali ke tempat asal bomoh yang pernah memberi cermin ini-sebuah pondok tinggal di kaki Gunung Alab, yang kini dikatakan sudah musnah.
Namun menurut Tok Biah, roh bomoh itu masih 'hidup' dalam dimensi lain, dan hanya mereka yang telah 'disentuh' oleh cermin boleh masuk ke dunia itu.
"Kamu kena masuk melalui bayang. Tapi awas, sekali masuk... tak semua boleh keluar."
Malam itu, Aina berdiri di depan cermin. Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Dengan membaca doa yang diberikan Tok Biah, dia meletakkan tapak tangannya pada permukaan kaca.
Perlahan-lahan, permukaan cermin menjadi cair seperti air.
Faiz memegang lengannya. "Jangan buat ini sendiri."
Tapi Aina sudah pun separuh masuk.
Dan dalam sekelip mata... dia hilang ke dalam dunia di sebalik cermin.
Dalam dunia itu, segalanya terbalik. Langitnya merah, pokok-pokok menjalar ke atas seperti urat, dan suara bisikan bergema dari segala arah. Aina tidak keseorangan bayang-bayang dirinya yang lain berkeliaran, ada yang menangis, ada yang ketawa gila, dan ada yang memandangnya dengan mata kosong.
Di tengah-tengah dunia itu, berdiri sebuah pondok kayu dengan simbol-simbol pelik. Di hadapannya berdiri seorang lelaki tua berjubah hitam, tanpa wajah.
"Kau mahu tamatkan semuanya? Bayarannya... nyawa."
Aina menggigil. Tapi dia tahu, jika tidak dihentikan sekarang, makhluk itu akan terus memburu manusia... dari satu cermin ke satu cermin.
Bersambung Ke Episod 4: Dunia Sebalik Cermin
Penulis: Sahril
Ikuti saya cerita penuh hanya di blog: Studia Cerita Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan