Oleh: Sahril
Jam menunjukkan tepat pukul 11:45 malam ketika Fauziah mematikan televisyen di ruang tamu rumah sewa kecilnya di Taman Berjaya Indah, daerah Marudi, Sarawak. Bunyi cengkerik dan desiran angin malam kedengaran perlahan dari luar. Sejak berpindah ke rumah itu tiga minggu lalu, dia sering berasa tidak selesa, tetapi suaminya, Halim, menganggap itu hanya perasaan semata-mata.
"Abang kerja syif malam lagi ke?" tanya Fauziah sewaktu Halim bersiap-siap tadi.
"Ya, ganti kawan. Mungkin balik lepas subuh," jawab Halim sambil mencium dahinya.
Kini, rumah itu hanya dihuni Fuziah seorang diri. Kedudukan rumah yang agak hujung dan dikelilingi hutan kecil membuatkan suasana terasa lebih sunyi dari biasa.
Fauziah melangkah ke bilik tidur dan memadamkan lampu. Lampu kecil di sisi katil sahaja dibiarkan menyala, cukup untuk menghalau kegelapan sepenuhnya. Belum pun dia sempat memejam mata, bunyi tapak kaki perlahan kedengaran dari atas siling.
Tap... tap... tap...
Fauziah terkejut dan membuka mata. Dia cuba memekakkan telinga, menganggap itu mungkin bunyi tikus atau tupai. Tapi langkah itu terlalu berat dan terlalu tersusun... seperti manusia sedang berjalan perlahan-lahan.
Dia duduk tegak. Bunyi itu masih berterusan.
Tap... tap... tap...
Langkah itu tidak berlari, hanya perlahan... tetapi tetap. Seolah-olah sesuatu sedang berjalan dalam bulatan di atas siling bilik tidur.
"Mustahil... atas ni kan bumbung zink..." bisik Fauziah sendiri, mula berasa cemas.
Dia mencapai telefon bimbit, cuba menghubungi Halim, namun talian langsung tidak berfungsi. Tiada isyarat.
Bunyi langkah berhenti.
Fauziah menahan nafas.
Sunyi.
Dummm!!
Satu hentakan kuat dari atas menyebabkan lampu sisi berkelip-kelip dan debu jatuh dari siling. Fauziah menjerit kecil dan menutup mulutnya sendiri. Dia bingkas bangun, menyalakan lampu bilik, lalu melangkah ke ruang tamu dengan dada yang berdegup kencang.
Dari ruang tamu, dia memandang ke siling. Tidak ada apa-apa yang luar biasa.
Namun, langkah itu kembali kedengaran.
TAP... TAP... TAP...
Kali ini dari arah bilik belakang - bilik kosong yang belum digunakan sejak mereka berpindah.
Fauziah menggigil. Tangannya mencapai kunci pintu utama, bersedia untuk keluar - tetapi ketika itu, pintu belakang tertutup sendiri dengan perlahan. Bunyi engselnya menjerit halus, bagai merintih.
Dengan tangan menggeletar, dia kemudian ke bilik dan menarik selimut sambil membaca ayat-ayat suci yang diingati. Dia tidak mahu melihat, tidak mahu mendengar.
Namun bunyi langkah itu turun perlahan-lahan, dari siling ke loteng, dan dari loteng... ke dalam rumah.
Dia yakin... bunyi itu kini berada di tangga kecil menuju ruang dapur belakang.
Tap... tap... tap...
Dan kemudian...
Senyaaap.
Fauziah menggigit bibir menahan tangis. Tubuhnya sudah basah dengan peluh walaupun kipas siling masih berputar. Dia menunggu dalam diam... sehingga rasa mengantuk mula menguasai.
Tepat jam 3 pagi, dia terjaga kerana terdengar bisikan halus betul-betul di tepi telinganya.
"Rumah ni bukan untuk kamu..."
Dia melompat bangun dan menyalakan semua lampu di dalam rumah. Nafasnya tercungap. Sambil menangis, dia menelefon Halim sekali lagi - kali ini, isyarat sudah kembali. Halim yang sedang memandu terus berpatah balik walaupun waktu kerja belum habis.
Keesokan paginya, Fauziah enggan tinggal di situ walaupun sekejap. Halim meminta pertolongan seorang ustaz tempatan bernama Ustaz Sofian untuk meruqyah rumah itu. Ustaz itu datang petang tersebut bersama dua orang pembantunya.
Sebaik sahaja ustaz melangkah masuk, dia menghentikan langkahnya.
"Ada sesuatu yang tak tenang di sini..." Katanya perlahan.
Ruqyah dimulakan. Bacaan ayat-ayat suci berkumandang memenuhi ruang rumah. Ketika tiba di bilik kosong belakang, ustaz menoleh ke arah loteng kecil di atas bilik itu.
"Boleh saya naik ke atas?"
Halim membawa tangga dan ustaz naik ke loteng. Tidak lama kemudian, dia turun semula sambil menunjukkan sebuah bungkusan kain kuning yang berbalut rapi.
"Ini punca segala-galanya," kata ustaz.
Apabila dibuka, di dalamnya terdapat rambut, cebisan kain putih bertulisan ayat pelik, dan kuku manusia yang sudah hitam. Salah seorang pembantu ustaz berbisik, "Ini macam pemujaan lama."
Menurut ustaz Sofian, rumah itu pernah diduduki seorang bomoh tua yang mengamalkan ilmu hitam. Bomoh itu mati di dalam rumah tersebut, dan jin peliharaannya masih tidak meninggalkan rumah.
"Setiap malam, dia akan berjalan di atas siling untuk memastikan 'penunggu' itu tidak diganggu. Kini bila rumah ini didiami semula, makhluk itu tidak senang," jelas ustaz.
Ustaz menyarankan agar rumah itu dikosongkan selepas pembersihan dilakukan. Tapi Fauziah sudah nekad, dia tidak mahu jejak ke situ lagi walau apa pun.
Tiga hari kemudian, mereka berpindah ke kuarters kerajaan yang lebih selamat dan berdekatan dengan tempat kerja Halim. Rumah lama itu dibiarkan kosong.
Namun penduduk setempat mula bercerita.
Beberapa malam selepas rumah itu dikosongkan, penduduk yang lalu di hadapan rumah tersebut melaporkan mendengar bunyi langkah berjalan di atas siling... walaupun tiada sesiapa di dalamnya.
Dan kadang-kadang, jika seseorang berdiri lama di depan pagar rumah itu...
... mereka akan terdengar bisikan halus dari loteng yang berbunyi...
"Rumah ini... bukan untuk kamu..."
Tamat
Penulis: Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan