Malam itu gelap pekat. Awan tebal menutup bulan sepenuhnya. Jam sudah menunjukkan pukul 11:45 malam ketika Hana menuruni Bukit Relong, sebuah laluan berbukit yang jarang digunakan selepas waktu malam. Jalan itu menghubungkan kampung kecil Tapian dengan lebuh utama ke daerah petarikan.
Hana baru pulang dari rumah kawannya, Nira, yang terletak di seberang bukit. Dia menaiki motosikal sendirian. Angin malam terasa mencengkam tulang, dan daun-daun kering berselerakan di jalan tar sempit yang jarang dilalui.
Tiba-tiba, semasa melalui satu selekoh tajam, dia memperlahankan motosikal apabila terdengar sesuatu yang membuatkan bulu romanya meremang.
"Uuuhhh... tolong..."
Suara itu perlahan. Seakan-akan suara perempuan yang sangat lemah dan kedengaran teresak. Hana menoleh ke kiri dan ke kanan. Jalan itu sunyi. Tidak ada sebuah rumah pun di sekitar. Hanya hutan rimba dan lereng bukit yang curam.
Dia memberhentikan motosikal di tepi jalan, cuba mengamati dari mana datangnya suara itu.
"Uuhh... tolong saya..."
Kali ini lebih jelas. Suara itu datang dari kawasan semak di tepi jalan, kira-kira lima meter dari tempat dia berhenti.
Hana bingung. Bahaya kalau ditinggalkan begitu sahaja, kalau benar-benar ada orang yang perlukan pertolongan? Tetapi akalnya juga memberi amaran: siapa pula yang berada di dalam semak pada jam hampir tengah malam begini?
Dia mengambil telefon bimbitnya dan cuba menghidupkan lampu suluh. Namun, seperti mengejek, bateri telefon hanya tinggal satu peratus dan terus mati sebaik lampu dinyalakan.
"Ah, kenapa sekarang? gumamnya cemas.
Walaupun takut, nalurinya mendesak untuk membantu. Dia mengambil topi keledarnya sebagai perlindungan dan melangkah perlahan ke arah semak.
"Siapa di sana?" jeritnya kecil.
Sunyi.
Dia hampir sahaja berpatah balik ketika terdengar tangisan kecil. Lirih dan menyayat hati.
"Adik?" Hana cuba menyapa dengan nada lembut.
"....Sakit..."
Dia menunduk sedikit, cuba menguak semak. Dan di situlah dia melihatnya.
Seorang gadis kecil, berpakaian lusuh, rambut panjang mengurai, duduk bersimpuh dengan lutut berdarah. Mukanya tertunduk.
Hana menelan liur. "Adik buat apa kat sini? Siapa nama adik?"
Gadis itu tidak menjawab. Perlahan-lahan dia mengangkat muka.
Dan apa yang Hana lihat membuatkan tubuhnya kaku.
Muka gadis itu.... hancur sebelah. Matanya hanya satu yang tinggal, dan mulutnya koyak hingga ke pipi.
"AAAAHHH!" jeritan Hana memecah keheningan bukit.
Dia terundur dengan lutut menggeletar, berlari semula ke motosikal tanpa menoleh. Enjin motosikal tidak mahu hidup walaupun sudah berkali-kali cuba dihidupkan.
Tangisan itu kini kedengaran lebih dekat. Seolah-olah gadis itu sudah berada di belakangnya.
"Kenapa tak tolong saya...? kenapa semua orang biarkan saya mati...?"
"PERGIII!!!" jerit Hana sambil menekan suis penghidup motosikal sepenuh tenaga. Akhirnya enjin hidup. Dia memecut turun bukit tanpa menoleh walau sekali.
Jalan itu terasa semakin panjang. Selekoh demi selekoh seolah-olah tidak berkesudahan. Peluh sejuk membasahi tubuhnya walaupun cuaca malam sangat dingin.
Setelah beberapa minit berlalu, akhirnya dia sampai di kawasan landai berlampu. Dia memberhentikan motosikal di pondok menunggu bas, menarik nafas tercungap-cungap.
Beberapa orang remaja yang melepak di kedai berhampiran melihatnya dengan pelik. Seorang daripada mereka datang menghampiri.
"Kak, kak okey? macam nampak hantu je."
Hana menggigil. Dia hanya mampu mengangguk. Namun rasa ingin tahu mendorongnya untuk bertanya.
"Dekat bukit tadi... Bukit Relong... Ada tak orang pernah nampak budak perempuan kat situ? Macam cedera, duduk tepi jalan?"
Remaja itu dan rakan-rakannya saling berpandangan.
"Sis, akak tak tahu ke cerita budak mati kena langgar dekat selekoh atas tu?"
Hana menggeleng.
"Dulu ada budak perempuan, umur dalam lapan tahun, lari dari rumah waktu malam sebab kena marah. Dia nak ikut mak dia pergi pekan. Tapi tengah jalan dia kena langgar lori dekat selekoh tajam tu. Pemandu tu takut, terus lari tinggalkan dia kat situ. Orang jumpa mayat dia dua hari lepas tu... Muka dia ... Hancur. Sejak tu orang kata, kalau jalan situ malam-malam... kadang-kadang dengar suara dia merintih minta tolong."
Darah Hana berderau. Cerita itu sama seperti apa yang dia alami sebentar tadi.
Malam itu, Hana tidak terus pulang. Dia menunggu hingga matahari terbit sebelum berani menunggang motosikal semula. Sejak kejadian itu, dia tidak pernah lagi melalui Bukit Relong pada waktu malam.
Dan setiap kali mendengar suara rintihan di tepi jalan bukit... dia tahu... bukan semua rintihan datang dari orang yang masih hidup.
TAMAT
Penulis: Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan