Isnin, 21 Julai 2025

Lantai Ke-13 Yang Tak Wujud


 Hujan turun renyai di Kuala Lumpur malam itu, menyimbah jalan raya dengan kilauan lampu neon yang memantul dari lopak air. Arif, seorang juruteknik lif di sebuah bangunan pencakar langit bernama Menara Damai, masih terperangkap dengan kerja yang tertangguh. Menara Damai adalah bangunan 20 tingkat yang baru sahaja siap beberapa bulan lalu. Rekabentuknya moden, tetapi cerita-cerita pelik mula tersebar dalam kalangan pekerja di situ, khususnya mengenai 'lantai ke-13' yang kononnya tidak wujud.

Arif sebenarnya tidak pernah peduli pada cerita seram, tetapi sejak dia ditugaskan untuk memeriksa sistem lif bangunan itu, dia sendiri berasa ada sesuatu yang tidak kena. Lif di Menara Damai beroperasi dengan lancar, tetapi papan kawalan di ruang teknikal menunjukkan satu perkara aneh, nombor 13 sentiasa muncul dalam data bacaan walaupun butang lantai 13 tidak ada pada panel lif.

"Bangunan ni memang tiada tingkat 13. Itu kepercayaan orang lama. Kami terus lompat ke 14," kata pengurus bangunan , Encik Razak, sewaktu sesi taklimat. "Tapi... kalau kau ternampak nombor 13 di panel, abaikan saja. Itu mungkin galitch sistem."

Namun, malam itu Arif terpaksa berkerja seorang diri. Ada laporan bahawa lif sering berhenti secara tiba-tiba antara tingkat 12 dan 14, seolah-olah ada satu lantai tersembunyi. Dengan lampu malap di ruang teknikal, Arif mula memeriksa panel kawalan utama. Di situ, kod '13' berkelip-kelip, seolah-olah lif sedang berada di lantai yang tidak sepatutnya ada.

Perasaan resah mula menguasai Arif. Dia memutuskan untuk memeriksa sendiri dengan menaiki lif. Setelah menekan butang ke tingkat 14, dia berdiri di tengah lif sambil memandang cermin besar yang menghiasi dinding. Bunyi mekanikal lif bergerak naik dengan lancar, namun ketika melepasi tingkat 12, lif tiba-tiba berhenti dengan hentakan perlahan. Panel paparan digital di atas pintu menujukkan angka 13.

"Eh? Mana ada 13..." bisik Arif.

Pintu lif terbuka perlahan. Arif teragak-agak, namun rasa ingin tahu lebih kuat daripada ketakutannya. Di depan matanya terbentang satu koridor panjang yang dipenuhi pintu-pintu lama berkarat, sangat berbeza dengan gaya moden bangunan tersebut. Lampu mentol di siling berkelip-kelip, mencipta bayangan aneh di dinding. Bau hapak dan masam menusuk hidungnya, seakan-akan tempat itu sudah lama tidak berpenghuni.

Dengan langkah perlahan, Arif keluar dari lif. Setiap pintu di koridor itu mempunyai nombor bilik yang pelik-1311, 1312, 1313, dan semuanya kelihatan seperti pintu asrama lama. Dia cuba membuka salah satu pintu, tetapi berkunci. Semasa berjalan lebih jauh, dia terdengar bunyi ketukan halus dari hujung koridor.

"Tok... tok... tok..."

Arif berhenti. Peluh dingin mengalir di dahi. "Hello? Ada orang ke?" jeritnya perlahan. Tiada jawapan. Tetapi bunyi ketukan itu bertukar menjadi bunyi seretan, seperti seseorang menarik sesuatu di atas lantai.

Arif berundur, tetapi pandangannya tertumpu pada satu pintu di hujung koridor yang sedikit terbuka. Dari celah pintu, dia melihat bayangan seorang perempuan berdiri membelekanginya. Rambutnya panjang menutupi wajah, dan gaun putih lusuh yang dipakainya koyak di bahagian bawah. Arif kaku. Perempuan itu mula mengeluarkan suara serak, "kau... dah sampai..."

Arif tersentak, lalu berpusing untuk lari ke lif. Namun, koridor itu kini terasa lebih panjang daripada sebelumnya. Pintu-pintu di kiri kanan mula terbuka sedikit demi sedikit, mengeluarkan bunyi berdecit. Dari dalam pintu, tangan-tangan hitam dan kurus terjulur, cuba menarik Arif. Dia menjerit dan berlari sekuat hati.

Sampai di lif, dia tekan butang berkali-kali. "Tutup! Tutup! Cepatlah!" Dia menumbuk pintu lif seperti orang gila. Akhirnya pintu tertutup tepat ketika satu tangan sejuk cuba memegang bahunya. Arif terjatuh ke lantai lif, nafasnya tercungap-cungap.

Panel digital kini menunjukkan angka 12, seolah-olah tiada apa-apa berlaku. Lif bergerak turun, dan apabila pintu terbuka di lobi, Arif keluar dengan wajah pucat.

Keesokan paginya, dia cuba bertanya kepada Encik Razak tentang 'lantai ke-13'. Pengurus itu hanya terdiam. "Saya nasihatkan awak jangan sebut pasal tingkat tu. Bangunan ni dibina di atas tapak lama asrama pekerja zaman dulu. Ada kebakaran besar yang meragut banya nyawa pada tingkat ke-13 bangunan lama tu. Sejak itu, tingkat tu tak pernah dimasukkan dalam pelan."

Arif menggigil. Dia tahu dia bukan bermimpi. Dia telah berdiri di lantai yang sudah sepatutnya hilang dari dunia nyata.

Selepas kejadian itu, Arif meletakkan jawatan serta-merta. Tetapi sebelum dia pergi, dia sempat menulis satu amaran kecil di papan teknikal:

"Jika lif berhenti di lantai 13, jangan keluar. Jangan pandang ke hujung koridor."

Namun, beberapa minggu kemudian, seorang pengawal keselamatan dilaporkan hilang ketika rondaan malam. Lif terakhir yang digunakannya menunjukkan rekod aneh-ia berhenti di 13.



TAMAT

Penulis: Sahril

Tiada ulasan:

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi

Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu...