Khamis, 17 Julai 2025

Makhluk Di Bawah Katil

 "Ma... Malam ini Izan tidur bilik belakang saja ya. Bilik izan ada bunyi pelik..."

Puan Halimah meletakkan cawan teh di atas meja sambil memandang anak bongsunya itu dengan dahi berkerut. "Apa pula bunyi pelik? kau dah besar panjang, Izan. Takkan takut tidur sendiri?"

Izan hanya diam. Usianya baru mencecah 17 tahun, tetapi sejak berpindah ke rumah baru di kampung Teladas, dia sering diganggu setiap kali malam menjelang. Biliknya terletak di hujung rumah - bersebelahan stor yang jarang dibuka. Rumah kampung yang mereka beli itu memang luas, tapi sejak awal, dia tidak pernah selesa.

Dari malam pertama, dia dengar sesuatu seperti kuku mencakar-cakar lantai bawah katil. Kadangkala, bunyi nafas berat dan esakan perlahan. pernah dia beranikan diri menjenguk bawah katil, tapi kosong. Tiada apa-apa. Namun setiap kali malam, gangguan itu kembali.


Malam itu, Izan dipaksa tidur di biliknya. Puan Halimah tidak mahu anaknya menjadi terlalu manja. Izan akhirnya akur. Pukul 10 malam, dia mengunci pintu bilik dan menyalakan lampu tidur di sudut meja belajar.

Mata Izan terkebil-kebil menatap siling. Bunyi cengkerik dan burung hantu bersahutan dari luar. Angin malam meniup langsir nipis ke kiri dan kanan.

Krak... Krak...

Bunyi itu datang lagi. Kali ini, jelas dari bawah katilnya.

Izan memegang selimut erat. Jantungnya berdegup laju. Dia telan liur, perlahan-lahan memusing badan dan menjuntaikan kepala ke sisi katil.

Matanya cuba fokus dalam samar lampu tidur.

Tiada apa.

Kosong.

Dia menghela nafas lega.

Namun saat dia mahu baring semula...

"Izan..."

Namanya dipanggil dalam bisikan perlahan. Suaranya garau. Perlahan. Seolah-olah datang dari... bawah katil.

Izan melompat ke belakang dan menjerit. Selimut dilempar ke lantai. Dia cuba buka lampu utama, tetapi suis tidak berfungsi. Gelap.

"Aku lapar..."

Kali ini, bisikan itu disusuli bunyi cakar di lantai kayu. Seperti kuku besi menggores perlahan-lahan. Sesuatu sedang bergerak... keluar dari bawah katil.

Izan hanya sempat membuka pintu sebelum lari keluar bilik. Dia tidak peduli lagi. Dia menangis dan mengetuk pintu bilik ibunya berkali-kali.


Pagi keesokan harinya, Izan demam. Badannya panas dan matanya merah. Sepanjang hari dia tidak berkata apa-apa. Ayahnya, Encik Zainal, tidak ambil pusing dan hanya menyangka anaknya itu mengada-ngada. Namun malam itu, puan Halimah sendiri terdengar sesuatu dari bilik Izan.

Tuk... tuk... tuk...

Bunyi itu seperti kuku mengetuk lantai. Atau kepala yang dihentak berulang kali.

Dia menjenguk melalui celah pintu. Terlihat lampu bilik Izan menyala. Tetapi anaknya duduk kaku di hujung katil. Wajahnya kosong.

Puan Halimah cuba memanggil, "Izan?"

Anaknya tidak menjawab. Hanya matanya sahaja yang bergerak - merenung ruang bawah katil dengan pandangan kosong.


Keesokan harinya, mereka memanggil seorang ustaz dari pekan berdekatan - Ustaz Malik. Lelaki berusia 40-an itu berasal dari kampung Batu Gajah, Lebih 20 kilometer dari situ. Selepas mendengar cerita Izan dan gangguan-gangguan aneh, dia meminta izin untuk masuk ke bilik.

Dia duduk di lantai dan membaca beberapa ayat ruqyah.

Tiba-tiba, satu bunyi kuat dari bawah katil mengejutkan mereka semua. Seperti sesuatu meronta dan memekik - tetapi tidak berbunyi seperti manusia. Lebih mirip bunyi binatang... atau sesuatu yang tidak patut wujud.

Ustaz Malik menyuruh semua keluar. Pintu dikunci dan bacaan diperdengarkan sepanjang satu jam. Bunyi jeritan dan hentakan terus kedengaran dari dalam bilik.

Akhirnya, pintu dibuka. Ustaz Malik keluar dalam keadaan berpeluh.

"Rumah ni tak berdosa... tapi katil tu. Ada yang pernah mati di bawahnya."


Rupanya katil yang digunakan Izan dibeli dari rumah lama. Menurut penjualnya, ia milik seorang lelaki tua yang tinggal sendirian dan mati dalam keadaan misteri. Jasadnya ditemui reput di bawah katil itu - mungkin dia mati dalam tidur dan terjatuh.

Namun... Ustaz Malik percaya roh lelaki itu tidak tenang. Dan ada sesuatu yang menyerap 'sisa kematian' itu - menjadi makhluk dari alam lain.

"Ada entiti yang menghuni ruang gelap di bawah katil itu. Ia sudah terbiasa di situ. Makan ketakutan, tidur dengan bayangan, dan membisikkan namamu di malam hari."

Katil itu dibakar malam itu juga, atas nasihat ustaz. Abu dan sisa kayunya dibuang jauh ke dalam sungai.


Sejak itu, Izan tidur di tilam nipis. Tapi gangguan hilang. Tidak ada lagi suara memanggil, tidak ada lagi bunyi cakar atau nafas berat dari bawah.

Namun, setiap kali malam... Izan masih belum berani menjuntaikan kaki dari atas tilam.

Kerana siapa tahu... mungkin makhluk itu belum benar-benar pergi.


Tamat

Penulis: Sahril

Tiada ulasan:

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi

Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu...