Khamis, 17 Julai 2025

Bayang-Bayang Di Sebalik Tirai

 Rumah kayu yang terletak di kampung Lembah Putih itu sudah lama kosong. Bumbungnya sudah mula mereput, dan jendelanya ternganga seperti mulut tua yang menanti ajal. Namun, minggu lalu, penduduk kampung dikejutkan dengan kepulangan seorang gadis yang mendakwa rumah itu adalah milik keluarganya. Namanya Arina.

Arina, seorang jururawat yang baru sahaja meletakkan jawatan, memilih untuk kembali ke kampung halaman ibunya selepas kematian nenek yang sudah lama tidak dijenguk. Dia ingin tinggal bersendirian, jauh dari hiruk-pikuk kota. Ramai yang menyambutnya dengan senyuman, walau pun mulut mereka terkunci daripada menyebut kisah silam rumah itu.

"Rumah tu... ada sejarah," kata seorang wanita tua bernama Mak Senah sewaktu bersua di surau. "Kalau malam, jangan dibuka tirai. Biarkan ia tertutup."

Arina hanya mengangguk, menganggapnya sekadar kepercayaan lama.

Malam pertama, suasana sunyi menyelubungi rumah itu. Jam di dinding berdetik perlahan. Angin malam meniup lembut dari celah papan dinding. Arina sedang membaca sebuah buku lama peninggalan neneknya apabila dia terdengar bunyi seperti sesuatu menggesel di tingkap. Dia menoleh, tirai putih di jendela ruang tamu berayun perlahan, walau pun semua pintu ditutup rapat.

Dia mendekati jendela. Dari luar, hanya pekat malam yang kelam. Namun ketika dia hendak kembali duduk, matanya terpaku, ada bayang samar berdiri di sebalik tirai itu. Tegap. Tidak bergerak.

Jantung Arina berdegup laju. Dia melangkah mundur, lalu menutup lampu ruang tamu. Dalam kegelapan, bayang itu hilang. Dia cuba menyakinkan dirinya bahawa itu hanya silauan cahaya bulan.

Namun malam-malam berikutnya, bayang itu muncul lagi.

Kadang-kadang, ia bergerak perlahan, seolah-olah memerhatikan dari luar. Kadang-kadang ia berdiri diam selama berjam-jam. Tiada wajah, hanya bayang hitam legam. Tapi yang paling menakutkan, Arina mula mendengar bisikan.

"Kenapa kau balik?"

"Ini bukan tempat kau lagi..."

"Jangan buka tirai..."

Arina menjadi semakin resah. Dia mula mencari jawapan, menggali barang-barang lama di loteng rumah. Di situ, dia menemui sebuah kotak kayu usang. Di dalamnya, tersimpan gambar seorang perempuan muda bersama seorang lelaki yang wajahnya dikaburkan oleh calitan dakwat hitam. Di belakang gambar itu bertulis:

"Aku sembunyikan dia di sebalik tirai. Jangan sesekali kau buka."

Arina menggigil.

Dia pergi ke rumah Mak Senah keesokan paginya.

"Arwah nenek kamu dulu jaga seorang lelaki gila. Dikatakan lelaki itu anak luar nikah yang dikurung... kerana selalu mengamuk waktu malam. Suatu malam, dia menghilang. Tapi... tak ada siapa jumpa mayatnya."

"Jadi dia...?"

Mak Senah hanya mengangguk perlahan.

Arina pulang ke rumah dengan hati berdebar. Malam itu, dia membuat keputusan untuk menamatkan semuanya.

Dengan tangan yang menggigil, dia berdiri di depan tirai ruang tamu. Angin malam menyelinap masuk, dan bayang itu, seperti biasa, berdiri di sebalik tirai. Kali ini lebih dekat. Lebih nyata. Nafasnya terdengar kasar dari sebalik kain nipis itu.

Arina capai penyapu lama. Dengan satu nafas panjang, dia menyelak tirai itu...

Kosong.

Tiada siapa di situ.

Tapi tiba-tiba, bunyi ketukan dari arah bilik tidur memecahkan kesunyian. Pelan-pelan, Arina melangkah menuju bilik. Pintu bilik terbuka sendiri perlahan... dan di dalamnya, berdiri lelaki itu.

Wajahnya hitam berjelaga, matanya merah menyala.

"Kau buka tirai itu... kau nampak aku... Maka sekarang aku akan ikut kau..."

Arina menjerit dan meluru keluar dari rumah. Dia berlari ke surau, meracau dalam ketakutan. Penduduk kampung yang mendengarnya segera datang membantu. Namun sejak malam itu, Arina tidak pernah kembali ke rumah itu.

Dan rumah kayu di kampung Lembah Putih kembali sunyi.

Cuma satu yang berubah, kini tirai di ruang tamu tidak pernah tertutup lagi. Ia sentiasa terselak... seolah-olah menanti seseorang yang berani untuk melihat semula bayang-bayang di sebaliknya.



TAMAT

Penulis: Sahril

Tiada ulasan:

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi

Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu...