Malam itu, langit gelap pekat seperti dilitupi jelaga. Jam menunjukkan pukul 2:45 pagi ketika Faiz memulas kunci motosikalnya di hadapan kedai tempat dia bekerja syif malam sebagai tukang cuci. Angin dinihari berhembus dingin, dan kota sudah lama lena dalam sepi.
Dia menunggang laju menyusuri jalan utama yang sunyi, hanya bertemankan deruman enjin dan desiran angin. Faiz memilih jalan pintas seperti biasa, satu lorong kecil yang dikenali orang tempatan sebagai Lorong Sunyi. Walaupun ramai tidak suka lalu di situ terutama waktu malam, Faiz sudah biasa. Baginya, lorong itu cuma lorong biasa dengan semak di kiri kanan dan tiada lampu jalan.
Ketika jam berdetik tepat pukul 3:00 pagi, Faiz memasuki lorong tersebut. Suasana di dalamnya jauh lebih gelap dari biasa. Malam itu kabus turun rendah, seakan menyelubungi lorong seperti langsir putih yang berat.
Dia memperlahankan motosikal. Pandangannya terhalang oleh kabus, dan enjin mula terasa berat. Deruman enjin tiba-tiba tenggelam dalam keheningan yang terlalu aneh. Tidak ada suara cengkerik. Tidak ada bunyi ranting patah. Tidak ada apa-apa.
Di tengah lorong, dia terlihat seorang perempuan berdiri membelakangi jalan, berkebaya putih, rambut panjang mengurai. Faiz menekan brek serta-merta. Jantungnya berdegup kencang.
"Kenapa ada orang tengah lorong macam ni?" bisiknya perlahan.
Perempuan itu tidak bergerak. Berdiri kaku seolah-olah sedang menunggu sesuatu. Faiz menelan air liur. Otaknya berperang antara mahu membelok balik atau teruskan saja. Tapi lorong itu terlalu sempit, dia tak mungkin boleh pusing balik tanpa terjatuh.
Dengan keberanian yang tinggal separuh, Faiz menekan minyak dan perlahan-lahan menghampiri perempuan itu. Semakin dekat, dia perasan perempuan itu tidak berpijak di tanah. Tubuhnya tergantung kira-kira sejengkal dari tanah. Rambutnya sedikit terangkat, melayang dalam angin yang tidak terasa pun oleh Faiz.
Dia cuba memalingkan muka, tapi tangannya menggigil. Motosikalnya tiba-tiba mati. Dalam panik, dia cuba hidupkan semula, namun enjin enggan menyala.
"Abang..." satu suara perlahan kedengaran dari arah perempuan itu, suara yang serak dan kosong, namun menusuk ke dalam jiwa.
Perempuan itu perlahan-lahan menoleh ke belakang. Wajahnya pucat, matanya hitam tanpa biji mata. Mulutnya koyak hingga ke pipi, mengalir darah hitam pekat. Faiz terpegun. Kakinya kebas. Dia cuba menjerit, tapi suaranya hilang.
Dalam sekelip mata, perempuan itu hilang.
Faiz tercungap-cungap. Tangannya terketar-ketar cuba menghidupkan motosikal. Akhirnya, enjin hidup. Dia menekan minyak dan meluru ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Tapi lorong itu terasa seperti tidak berpenghujung. Dia sudah pasti lorong itu cuma sepanjang 500 meter, namun dia seperti menunggang selama 10 minit dan belum nampak hujungnya.
Tiba-tiba, di hadapannya... perempuan yang sama muncul semula, masih dalam posisi berdiri membelakangi jalan.
Faiz menjerit, kali ini kuat. Dia brek mengejut, dan motosikalnya tergelincir ke tepi, menghentam parit kecil. Faiz tercampak dan terhempas ke tanah berlumpur.
Sakit. Tapi ketakutan lebih besar dari kesakitan.
Dia bangun, menolak motosikal dan berlari ke arah bertentangan, namun bila dia menoleh, lorong yang tadi dia lalui sudah hilang. Dia berada di tempat yang sama seperti awal tadi. Kabus semakin tebal. Dada Faiz sesak.
Kemudian, dia terdengar bunyi tapak kaki perlahan, teratur, menghampiri dari belakang.
Dia beranikan diri menoleh.
Bukan seorang, tapi berpuluh-puluh perempuan berkebaya putih, semuanya berkepala tertunduk, mengelilinginya dari jauh. Mata mereka kosong, senyuman mereka ngeri. Mereka memanggil dalam nada serentak:
"Jam tiga pagi... jam tiga pagi... kau dah janji kan..."
Faiz menjerit, jatuh terduduk. otaknya tidak mampu lagi mencerna.
Tiba-tiba... semuanya gelap.
Faiz terjaga dengan tubuhnya disimbah air. Dia di tepi jalan, dikerumuni beberapa orang kampung. Motosikalnya tersadai di dalam semak. Seorang lelaki tua mengusap dadanya.
"Nasib baik orang kampung nampak kau tak sedarkan diri tepi lorong ni," kata lelaki tua itu. "Kau tak tahu ke... lorong tu dah ditutup sejak lima tahun lalu?"
Faiz menggeleng, menggigil.
"Kau nampak sesuatu, kan?" soal lelaki tua itu lagi, serius.
Faiz menggigit bibir. Air mata mengalir.
"Saya lalu jam 3 pagi tadi... saya nampak dia... mereka semua..."
Lelaki tua itu menarik nafas panjang. "Kau bukan orang pertama. Ramai dah kena. Dulu ada satu kemalangan besar... bas jatuh gaung, semua penumpang perempuan mati... sejak tu, lorong ni jadi lorong roh mereka menuntut janji."
"Janji apa, pakcik?" Tanya Faiz perlahan.
"Janji untuk tidak diganggu waktu mereka berjalan pulang... jam 3 pagi."
Tamat.
Penulis: Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan