Jam sudah melewati 12:47 tengah malam ketika telefon bimbit Arina berdering. Dia sedang baring di atas tilam nipis di bilik sewa kecilnya di sebuah rumah papan dua tingkat di kampung Gading, sebuah perkampungan terpencil di kaki bukit Meromok, Ranau.
Bunyi deringan itu seolah menyentap kesunyian malam. Arina mengerutkan dahi sambil mencapai telefon. Tertera di skrin: Nombor Tidak Dikenali. Tidak berfikir panjang, dia menolak untuk menjawab dan meletakkan semula telefon di sisi.
Baru sahaja dia memejamkan mata semula, telefon berbunyi lagi - nombor yang sama. Kali ini, dia angkat.
"Hello?"
Tiada suara di hujung talian. Hanya bunyi desiran halus seperti orang sedang bernafas. Lalu talian terputus sendiri.
Arina duduk tegak. Degupan jantungnya mula berubah. Dia berbisik perlahan, "Mungkin salah nombor..."
Namun, dalam hati kecilnya, ada rasa tidak sedap. Beberapa minit kemudian, telefon berdering lagi. Nombor itu masih tidak dikenali. Dia membiarkan sahaja kali ini, tetapi satu notifikasi masuk - mesej suara.
Dengan rasa ingin tahu dan gementar, Arina membuka mesej suara itu. Bunyi nafas yang sama kedengaran, tetapi kali ini disusuli suara bisikan halus, "...tolong aku... Arina...."
Dia terdiam. Jantungnya seolah berhenti berdegup seketika. Siapa yang tahu namanya? Dia hanya menyewa di sini dua bulan, bekerja sebagai pembantu kedai runcit Pak Sarib di pekan kecil.
Arina cuba menghubungi nombor itu semula, tetapi mesej sistem menyatakan: "Nombor ini tidak wujud."
Keesokan harinya, dia bertanya kepada Pak Sarib tentang pemilik rumah sewa itu. Lelaki tua itu menggaru dagunya yang dipenuhi janggut kelabu.
"Dulu rumah itu kosong lama... sebelum kau, ada sorang gadis nama Nadra sewa. Dia kerja sebagai guru ganti di sekolah rendah kampung ni..."
"Lepas tu?" tanya Arina, jantungnya berdegup kencang.
Pak Sarib terdiam sebentar sebelum berkata perlahan, "Dia hilang... tiga tahun sudah. Keluar dari rumah tu waktu malam, kata nak balik ke rumah ibunya di Keningau... tapi tak pernah sampai. Sampai hari ni, tak pernah dijumpai."
"Mayat pun tak dijumpai?"
Pak Sarib menggeleng. "Cuma kereta dia dijumpai di kawasan belukar dekat Bukit Meromok. Telefon dia... tak pernah dijumpa."
Arina rasa perutnya memulas. Bulu romanya meremang. Adakah itu suara Nadra?
Malam berikutnya, Arina sengaja tidak mematikan telefonnya. Dia tidur dengan lampu terbuka, namun matanya sukar lelap. Jam 1:03 pagi, deringan itu datang semula.
Dengan tangan terketar-ketar, dia menjawab. "Siapa ni?"
Ada suara di hujung sana. Kali ini lebih jelas, suara perempuan.
"Aku sejuk... gelap di sini. Aku tak tahu jalan keluar... aku masih di bukit..."
"Siapa awak?!"
"Aku Nadra... tolong... tolong sampaikan kepada mak aku... aku tak pernah tinggalkan dia... aku masih di sini..."
Talian mati. Arina terkedu. Nafasnya sesak. Dia segera bangun, membuka jendela. Dari jauh, dia dapat melihat bayang Bukit Meromok yang diselubungi kabus malam. Di lereng bukit itu... seolah ada kelip cahaya samar- seolah-olah seseorang sedang berdiri memandang ke arah rumahnya.
Keesokan paginya, Arina mengambil keputusan nekad. Dia memandu ke balai polis Ranau dan menceritakan semua. Seorang anggota berpangkat Sarjan mendengar dengan teliti sebelum berkata:
"Kami pernah cari Nadra di kawasan itu. Tapi kalau kamu ada petunjuk baru... kita boleh cuba semula."
Pasukan kecil dihantar ke Bukit Meromok. Arina ikut serta. Dengan rasa yang sukar digambarkan, dia menunjukkan lokasi berdasarkan mimpi dan bisikan dari panggilan.
Selepas beberapa jam pencarian, mereka menemui sesuatu.
Di bawah timbunan daun dan tanah, tersembunyi sebuah beg tangan lusuh. Di dalamnya terdapat Kad Pengenalan, telefon lama berdebu... dan seutas rantai emas berloket kecil bertulis: "Untuk Nadra - dari Ibu".
Mata Arina berkaca. Pasukan forensik segera dipanggil, dan siasatan penuh dibuka semula.
Tiga hari selepas itu, Arina menerima satu panggilan terakhir dari nombor tidak dikenali.
"Terima kasih..." bisik suara itu. "Akhirnya aku... akan pulang."
Kemudian talian senyap. Kali ini benar-benar senyap. Tiada lagi panggilan selepas itu. Tiada lagi mimpi aneh. Tiada bayang di lereng bukit.
Nadra akhirnya ditemui, walau hanya jasad yang tinggal, sekurang-kurangnya dia pulang.
Dan bagi Arina, malam-malam sunyinya di kampung Gading tidak lagi dihantui bisikan dari nombor yang tidak dikenali.
Tamat.
Penulis: Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan