Isnin, 14 Julai 2025

Penunggu Di Tingkat Empat

 Apartmen Sri Bakti, terletak di pinggir bandar kecil Balingian, Sarawak, mula dibina sekitar awal tahun 2000. Bangunannya tidak tinggi, cuma lima tingkat, dan suasananya tenang pada waktu siang. Tetapi ramai penduduk setempat tahu-waktu malam, terutamanya di tingkat empat, bukanlah masa dan tempat yang ingin dilalui seorang diri.

Aqil, seorang juruteknik muda yang baru berpindah dari Kucing, menyewa di unit 4B, satu-satunya unit yang masih kosong sejak beberapa tahun lalu. Pemilik rumah, seorang wanita tua bernama Makcik Lena, memberitahu bahawa unit itu sudah lama tidak berpenghuni kerana kebanyakan penyewa terdahulu tidak bertahan lama.

"Saya tak mahu tipu awak, Aqil. Tapi kalau awak berani dan kuat semangat, rumah tu memang elok. Air tak bocor, tandas tak rosak," katanya sambil tersenyum tawar.

Aqil hanya ketawa kecil, menyangka kata-kata itu sekadar cubaan untuk menakut-nakutkan orang luar.


Malam pertama

Pada malam pertamanya di unit 4B, Aqil sibuk menggemas barang. Jam menunjukkan hampir 11 malam bila dia akhirnya merebahkan badan di tilam nipis. Lampu dapur dibiarkan terbuka sedikit, memberikan cahaya samar ke ruang tamu.

Sedang dia hampir terlena, Aqil terdengar bunyi ketukan. Tok. Tok. Tok.

Dia bingkas bangun. Bunyi itu datang dari arah pintu belakang, yang menuju ke balkoni kecil. Bila dia menghampiri pintu tersebut, tiada sesiapa di luar. Hanya angin malam yang meniup langsir tipis beralun perlahan.

Dia mengunci pintu rapat dan kembali ke tilam.

Tetapi belum pun lima minit dia baring semula, bunyi ketukan itu berulang. Kali ini dari arah bilik air.

Tok. Tok. Tok.

Bila Aqil membuka pintu bilik air, dia terasa seolah-olah ruang itu lebih sejuk daripada biasa. Tiada siapa di situ, hanya suasana dingin yang menusuk ke tulang.


Hari Kedua: Jiran Yang Pendiam

Keesokan harinya, Aqil mencuba beramah mesra dengan jiran sebelah, seorang lelaki berusia lewat 40-an bernama Pak Karim.

"Awak duduk di 4B ya?" soal Pak Karim dengan wajah serius. "Orang yang terakhir duduk situ... tak sempat habis sewa."

"Kenapa pula?" tanya Aqil.

Pak Karim hanya menggeleng. "Kalau malam-malam nanti awak dengar bunyi tangisan... atau ada yang berdiri di hujung koridor, buat-buat tak nampak. Jangan sesekali tegur. Itu pesan orang lama."

Aqil meneguk liur. Rasa geli dan dingin menyelinap ke belakang tengkuknya. Tetapi dia enggan menyerah pada cerita seram kampung seperti itu.


Malam Ketiga: Tangisan

Pada malam ketiga, sekadar jam dua pagi, Aqil dikejutkan dengan bunyi esakan yang perlahan. Tangisan wanita.

Huuu... huu... hu...

Suara itu kedengaran dari luar pintu utama. Dengan perasaan berbelah bagi, dia mengintai melalui lubang kecil di pintu. Tiada sesiapa.

Tapi suara itu tetap kedengaran. Lebih kuat. Lebih dekat.

Tiba-tiba, suara tangisan bertukar menjadi jeritan nyaring yang menembusi dinding.

"KELUAR DARI RUMAH AKU!!"

Cermin di meja solek tiba-tiba retak, walaupun tiada sesiapa yang menyentuhnya. Aqil terduduk, menggigil, dan terus membaca apa sahaja ayat suci yang dia tahu.


Penyiasatan Aqil

Esoknya, Aqil tidak pergi kerja. Sebaliknya dia ke warung berhampiran dan bertanya pada beberapa orang lama tentang sejarah apartmen itu.

Seorang lelaki tua yang memperkenalkan diri sebagai Pak Din akhirnya membuka mulut.

"Unit 4B tu dulu ada perempuan mengandung tinggal dengan suami dia. Tapi si suami kaki perempuan, kaki judi. Satu malam, dia balik dalam keadaan mabuk, gaduh besar berlaku. Si isteri terjatuh dari balkoni. Mati... dengan kandungan dia sekali," cerita Pak Din sambil menghembus rokoknya perlahan.

"Kata orang, roh dia tak tenang. Dia tunggu... tunggu orangg yang tinggal semula di rumah tu. Dia ingat, orang tu suami dia yang bunuh dia dahulu."


Malam Terakhir

Aqil bertekad untuk pindah keesokan harinya. Malam itu, dia hanya duduk di ruang tamu, beg sudah pun dikemas. Dia tak mahu tidur.

Jam menunjukkan pukul 2:34 pagi.

Bau hanyir tiba-tiba memenuhi ruang. Aqil bangkit dan melihat cecair merah meleleh dari bawah pintu bilik air. Dia berundur perlahan.

Dari bilik air, perlahan-lahan muncul satu tubuh wanita dalam keadaan berlumuran darah, rambut menutupi wajah, sambil mendukung sesuatu.

"Aqil..." bisik wanita itu dengan suara bergetar, "Awak.... pulangkan anak saya..."

Wajahnya yang hancur dan mata merah menyala merenung tepat ke arah Aqil.

Dia menjerit sekuat hati dan berlari keluar dari unit 4B menoleh ke belakang.


Penamat

Aqil tidak pernah kembali ke Apartmen Sri Bakti selepas malam itu. Barang-barangnya ditinggalkan begitu sahaja.

Unit 4B kekal kosong hingga ke hari ini.

Tapi penduduk masih bercerita, sesekali waktu dinihari, akan terdengar tangisan wanita dari tingkat empat... memanggil nama yang berbeza-beza.

Kerana penunggu itu masih menanti.


Tamat

Penulis: Sahril

Tiada ulasan:

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi

Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu...