Malam itu, langit di kampung Serdang diselubungi awan gelap. Bunyi guruh berdentum dari kejauhan, disusuli kilat yang memancar sekejap-sekejap, seolah-olah memberi isyarat bahawa sesuatu sedang menghampiri.
Di hujung kampung yang sudah hampir ditinggalkn, berdiri sebuah rumah kayu lama peninggalan zaman kolonial. Rumah itu telah kosong lebih dari dua tahun semenjak pemiliknya, seorang wanita tua bernama Mak Endon, meninggal dunia secara tiba-tiba. Tapi walaupun kosong, penduduk kampung sering mengadu mereka nampak cahaya pelita menyala dari dalam rumah itu setiap malam jumaat. Lebih aneh, mereka juga mendengar bunyi kerusi goyang bergerak perlahan-lahan, seolah-olah ada seseorang yang duduk dan menggoyangkannya... dalam gelap.
Kisah ini sampai ke telinga Syahrizal, seorang pemuda dari bandar Maharani yang gemar merakam tempat-tempat terbiar untuk kandungan YouTube miliknya. Bila dia mendapat tahu tentang rumah itu melalui seorang kenalan, dia terus membuat keputusan untuk datang sendiri dan menyiasat.
Petang Khamis, Syahrizal tiba di kampung Serdang dengan motosikalnya. Dia menyewa sebuah bilik kecil di rumah seorang penduduk kampung, Pak Hamid, yang sudah berumur tetapi masih sihat. Waktu makan malam, mereka sempat berbual panjang.
"Rizal, aku tak galakkan kau pergi rumah itu malam-malam. Dah banyak kali orang cuba masuk, tapi semua balik tak sempurna. Ada yang meracau, ada yang demam seminggu," nasihat Pak Hamid sambil merenung tajam.
Syahrizal hanya senyum. "Saya dah biasa, Pak Hamid. Ini bukan kali pertama saya ke tempat macam ni."
Pak Hamid menghela nafas panjang. "Tapi rumah tu lain, nak. Mak Endon bukan orang biasa. Dia dulu dukun kampung. Orang kampung hormat dia, tapi lepas dia mati... roh dia macam tak reda."
Tengah malam pun tiba. Berbekalkan kamera, lampu suluh, dan semangat ingin tahu, Syahrizal menuju ke rumah lama itu. Angin malam meniup kuat, membuatkan daun-daun kering menari di sepanjang jalan. Rumah itu kelihatan lebih menyeramkan dari dekat, cat dindingnya sudah merekah, jendela kayu ternganga seperti mata yang menanti.
Dia menolak daun pintu yang tidak berkunci. "Assalamualaikum..." ucapnya perlahan.
Tiada jawapan.
Syahrizal masuk perlahan-lahan, merakam setiap sudut. Debu tebal menyelimuti perabot. Hanya satu benda yang nampak bersih, kerusi goyang di tengah ruang tamu.
Anehnya, kerusi itu bergoyang perlahan... walaupun tiada angin.
Syahrizal terpaku. "Mungkin tikus?" bisiknya untuk menenagkan diri. Tapi hatinya mula rasa tidak sedap. Kamera di tangannya tiba-tiba terganggu, skrin berkelip-kelip dan mula rosak.
Tiba-tiba, seluruh ruang menjadi gelap. Lampu suluhnya mati.
Dia cuba menghidupkannya semula, tapi gagal. Dalam kegelapan itu, hanya satu bunyi yang kedengaran jelas, kerusi goyang itu semakin laju bergoyang.
"Siapa di situ?" Syahrizal bersuara, cuba mengawal getaran suaranya.
Tiada jawapan.
Tiba-tiba... ketuk! Bunyi kaki kerusi menghentak lantai. Goyangan berhenti serta-merta.
Sunyi.
Syahrizal melangkah ke belakang perlahan-lahan. Tapi langkahnya terhenti bila satu suara berbisik tepat di belakang telinganya:
"Jangan sentuh kerusi tu... itu tempat aku..."
Dia menoleh sepantas kilat, tiada siapa di belakangnya. Tapi ketika dia menoleh ke hadapan semula, kerusi goyang itu sudah tidak kosong.
Seorang wanita tua duduk di atasnya. Rambutnya putih panjang, menutupi separuh wajah. Bajunya lusuh, dan tangannya menggenggam kain batik yang koyak. Matanya merah menyala. Dia memandang tepat ke arah Syahrizal.
"Kau tak sepatutnya ada di sini..."
Syahrizal jatuh terduduk. Nafasnya sesak. Badannya menggigil. Dia cuba merangkak keluar dari rumah itu, tapi semakain dia bergerak, semakin dekat suara ketawa wanita tua itu mengejarnya, dari kerusi ke dapur, ke tangga, ke bumbung... seolah-olah suara itu datang dari setiap penjuru.
Sebaik sahaja dia berjaya melangkah keluar dari rumah itu, angin berhenti serta-merta. Malam menjadi sunyi. Rumah itu kelihatan seperti tidak berpenghuni semula, dan kerusi goyang di dalamnya sudah kosong semula.
Keesokan paginya, Pak Hamid menjumpai Syahrizal terbaring di depan rumah itu, tidak sedarkan diri.
Dia dibawa ke klinik. Dua hari kemudian, barulah dia sedar, tapi dia tidak lagi boleh bercakap.
Doktor mengesahkan pita suaranya rosak tanpa sebab fizikal yang jelas.
Namun sejak kejadian itu, ada satu perkara aneh berlaku, setiap malam jumaat, Syahrizal akan menulis dengan jari di atas meja:
"kerusi itu masih bergoyang.."
TAMAT
Penulis: Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan