Pokok besar itu berdiri megah di tengah dusun tua milik arwah Tok Ayah Man di kampung Lalang Sari, sebuah perkampungan terpencil di pinggir hutan Banjar Temoyong. Pokok beringin setinggi tiga tingkat rumah itu telah lama menjadi sebahagian dari cerita larangan yang tidak pernah dicatat, hanya dibisikkan dari mulut ke mulut. Pantangnya cuma satu: " Jangan berada di bawah pokok itu selepas waktu Maghrib."
Nadiah, seorang guru muda dari selangor yang baru sahaja ditempatkan mengajar di sekolah kebangsaan Temoyong, tidak pernah tahu tentang pantang itu. Dia menyewa di sebuah rumah kampung di hujung dusun, peninggalan arwah Tok Ayah Man yang kini diwarisi oleh cucunya, Amirul. Rumah kayu itu agak usang, tetapi selesa untuk seorang diri. Nadiah senang dengan suasana kampung yang tenang dan dikelilingi alam semula jadi.
Pada malam pertama, semuanya berjalan lancar. Nadiah mula serasi dengan murid-murid dan masyarakat kampung. Namun, pada malam jumaat kedua dia tinggal di situ, sesuatu yang aneh mula berlaku.
Ketika itu jam menunjukkan hampir pukul 11 malam. Nadiah sedang menyiapkan rancangan pengajarannya apabila terdengar suara tangisan halus - seperti suara perempuan menangis sayup-sayup dari luar rumah.
Dia bangun perlahan dan menjenguk dari celah langsir tingkap ruang tamu. Bulan terang malam itu memancar ke seluruh halaman. Namun tiada siapa pun di luar. Hanya satu benda yang menarik perhatiannya - pokok besar yang terletak kira-kira dua puluh meter dari belakang rumah. Daun-daunnya seolah bergetar walaupun angin malam sangat tenang.
Tangisan itu makin jelas. Seolah-olah datang terus dari arah pokok itu.
Nadiah menggigil, namun akalnya cuba menolak rasa takut. "Mungkin burung hantu... atau bunyi binatang liar," bisiknya kepada diri sendiri. Dia menutup langsir dan kembali ke biliknya.
Namun malam-malam selepas itu, tangisan itu menjadi semakin kuat dan konsisten - hanya berlaku selepas jam 10 malam, hanya datang dari arah pokok besar itu.
Nadiah mula bertanya pada jiran-jiran. Namun semua orang kampung hanya memberikan jawapan yang kabur, seolah-olah tidak mahu bercakap tentang pokok itu. Ada seorang nenek tua bernama Mak Long Yah yang akhirnya membuka cerita.
"Itu pokok arwah Mariam," kata Mak Long Yah sambil merenung jauh ke kebun. "Mariam dibunuh dan ditanam di bawah pokok tu lebih tiga puluh tahun dulu... suaminya sendiri yang buat. Arwah Tok Ayah Man yang jumpa tulangnya waktu dia tebang pokok-pokok keliling dulu. Tapi pokok beringin tu dia tak berani sentuh."
Nadiah terdiam. Bulu romanya meremang. Tangisan yang didengarnya selama ini bukan mainan telinga.
Malam berikutnya, Nadiah cuba memberanikan diri. Dia duduk di anjung rumah sambil merekod suara dengan telefon bimbitnya. Tepat jam 10:17 malam, suara tangisan itu muncul semula. Kali ini lebih kuat, seolah-olah wanita itu sedang meratap kesakitan.
Rakaman yang dibuatnya dihantar kepada rakannya, Jihan, yang menetap di Kuala Lumpur. Namun sebaik Jihan membukanya, dia menelefon Nadiah dalam keadaan panik.
"Nad, aku dengar suara tangisan tu... tapi ada suara lain juga dalam rakaman tu."
"Apa maksud kau?" soal Nadiah.
"Lelaki. Suara lelaki tua. Dia bisik, ' Jangan kacau dia. Jangan kacau dia...'''
Nadiah hampir menjatuhkan telefonnya. Dia tidak mendengar suara itu secara langsung semasa merakam.
Malam seterusnya, tangisan itu berubah menjadi jeritan. Dinding rumah diketuk dari arah dapur, langsir tiba-tiba melambai sendiri walaupun tiada angin, dan radio lama di ruang tamu yang tidak pernah digunakan tiba-tiba terpasang sendiri, memainkan lagu lama 60-an.
Keesokan harinya, Nadiah nekad untuk meninggalkan rumah itu. Sebelum dia berangkat, dia sempat bertemu dengan Amirul, cucu arwah Tok Ayah Man.
"Kamu dengar juga tangisan tu, kan?" tanya Nadiah.
Amirul hanya mengangguk.
"Sebab itu rumah tu kosong bertahun-tahun. Arwah Tok Ayah Man pernah cuba panggil ustaz, tapi semuanya kata benda tu tak mahu pergi. Dia... masih menunggu."
"Menunggu apa?"
"Menunggu orang yang akan korek kubur dia. Tulang Mariam tak pernah dialihkan. Dia masih di situ, di bawah pokok tu. Setiap kali orang cuba gali, tanah tu akan banjir dengan darah hitam."
Nadiah membulatkan mata. "Kenapa tak beritahu orang?"
"Tok Ayah Man kata... ada sumpah. Kalau digali, roh suaminya yang jahat akan bangkit semula."
Mendengar itu, Nadiah tidak tunggu lagi. Dia angkat barang dan terus meninggalkan rumah itu sebelum malam menjelang.
Beberapa minggu selepas kepulangannya ke Selangor, Nadiah menerima sepucuk surat tanpa nama. Di dalamnya, sekeping gambar lama - gambar seorang wanita berbaju kurung putih berdiri di bawah pokok beringin dengan mata yang merah pekat, memandang tepat ke arah kamera. Di belakangnya... bayang seorang lelaki tua memegang parang.
Tiada ucapa. Hanya tulisan tangan yang tertera di bawah gambar itu:
"Tangisan belum berakhir..."
TAMAT
Penulis: Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan