Rabu, 16 Julai 2025

Diari Milik Arwah

 Nama aku Iqmal. Aku bukan orang yang percaya sangat pada benda-benda ghaib atau cerita seram, tapi pengalaman aku semasa berpindah ke rumah sewa lama di kampung Deralik, Perlis, mengubah segalanya.

Semuanya bermula apabila aku ditugaskan bekerja sebagai pegawai kesihatan daerah di sebuah klinik kecil yang terletak agak jauh dari pekan. Disebabkan ingin berjimat, aku ambil keputusan untuk menyewa sebuah rumah papan lama di hujung kampung. Rumah tu sudah lama tidak berpenghuni, tapi pemiliknya, seorang lelaki tua bernama Pak Majid, menawarkan sewa yang sangat murah. Katanya, "Rumah tu tak ada apa-apa... Cuma sunyi sikit." Aku tak fikir panjang. Aku cuma fikir tempat tidur dan tempat untuk mandi.

Rumah tu memang usang. Dinding papan banyak yang dah mula reput. Ada bau hapak yang sukar dijelaskan, tapi aku anggap biasa untuk rumah lama. Malam pertama aku tidur di situ, aku terjaga sekitar jam 3 pagi. Aku terdengar bunyi seolah-olah ada orang menulis laju-laju di atas kertas-srek srek srek-dengan pen yang macam dah hampir kering. Tapi bila aku buka lampu dan periksa sekeliling, tak ada apa-apa. Aku anggap itu mungkin bunyi tikus. Aku cuba tidur semula.

Keesokan paginya, semasa aku kemas bilik belakang rumah yang aku rancang jadikan stor, aku terjumpa sebuah kotak kayu lama yang tertutup rapat. Di atasnya tertulis dengan dakwat hitam yang hampir pudar: "JANGAN BACA."

Sudah lumrah manusia, makin dilarang makin membuak rasa ingin tahu. Aku buka juga kotak tu. Di dalamnya ada sebuah diari kulit lusuh yang kelihatan seperti sudah lama tidak disentuh. Pada muka surat pertama, tertulis nama Rina Amani dan tarikh terakhir yang dicatatkan ialah lima tahun lepas.

Tanpa rasa takut, aku duduk di ruang tamu dan mula membacanya. Mula-mula, catatannya biasa saja. Cerita tentang kehidupan sehariannya di rumah tu bersama neneknya. Tapi makin lama aku baca, makin banyak perkara ganjil yang ditulisnya. Ada catatan tentang "lelaki tinggi tanpa wajah" yang selalu berdiri di depan tingkap biliknya. Ada juga tentang suara budak kecil menangis di dapur setiap malam.

Semakin aku tenggelam dalam bacaan, aku mula rasa lain. Jantung aku berdebar. Aku tak sedar langit di luar sudah gelap. Satu ayat dalam diari itu buat aku rasa seperti ada benda yang sedang perhatikan aku:

"Kalau kau baca ini, itu maknanya dia akan datang padamu pula."

Aku segera tutup diari itu. Tiba-tiba, angin kuat meniup dari arah dapur, walhal semua tingkap tertutup rapat. Lampu berkelip. Bunyi srek srek srek tadi kembali kali ini lebih jelas, seolah-olah datang dari dalam bilik aku.

Aku lari masuk bilik, kunci pintu dan peluk tubuh atas katil. Tapi... bila aku pandang ke meja belajar aku di atasnya ada diari itu.

Aku pasti aku tinggalkan di ruang tamu tadi.

Malam itu aku tak dapat tidur. Mata aku liar memandang sekeliling. Sekali-sekala aku dengar ketukan perlahan di pintu bilik. Tok tok tok. Aku pejam mata. Baca ayat apa saja yang aku tahu.

Esok paginya aku kembali ke rumah Pak Majid.

"Apa sebenarnya rumah tu, pakcik?" aku tanya.

Pak Majid termenung sekejap. "Rumah tu dulu memang milik anak saudara saya, Rina. Dia tinggal dengan neneknya. Tapi lepas neneknya meninggal, dia tinggal sorang. Suatu malam, jiran,jiran dengar dia menjerit. Bila mereka pecah masuk, dia dah tak ada. Hilang. Sampai sekarang tak jumpa. Tapi beberapa orang penyewa lepas-lepas tu... semuanya pindah selepas jumpa benda yang sama."

"Apa benda?"

"Diari."


Aku buat keputusan untuk keluar dari rumah tu hari tu juga. Tapi sebelum aku sempat kemas semua barang, aku terjumpa satu helaian kertas lain dalam diari itu yang terselit di bahagian belakang. Ia ditulis dengan tulisan yang nampak tergesa-gesa:

"Dia akan terus datang selagi diari ini dibaca. Bakar. Jangan simpan. Jangan letak balik."

Aku bawa diari itu ke belakang rumah, tuang minyak petrol dan nyalakan api. Tapi semasa ia mula terbakar, aku dengar suara perempuan menjerit dari arah dapur.

Jeritan itu... sangat jelas.

Api padam sendiri sebelum diari itu habis terbakar.

Aku campak diari itu ke dalam sungai dekat kebun getah kampung dan terus tinggalkan rumah tu. Sejak hari tu, aku tak pernah lagi pulang ke kampung Deralik.

Tapi malam-malam tertentu, aku masih terdengar bunyi srek srek srek, seolah-olah seseorang sedang menulis... di dalam bilik aku.

Dan di bawah bantal aku semalam, ada satu helaian kertas lama, basah, bertulis:

"Satu lagi telah membaca..."



TAMAT

Penulis: Sahril

Tiada ulasan:

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi

Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu...