Jam menunjukkan pukul 11:45 malam ketika Faizal memandu sendirian melalui jalan lama menuju ke daerah Tenom dari Keningau. Jalan tersebut sunyi dan berliku, dikelilingi oleh hutan tebal dan hanya sesekali disinari lampu jalan yang malap.
Dia baru pulang dari menghadiri majlis perkahwinan rakan sekerjanya di Keningau. Disebabkan ada kerja pagi esok, Faizal memutuskan untuk tidak bermalam dan pulang malam itu juga. Rakan-rakannya sudah pun mengingatkan, "Jangan lalu jalan lama tu, Zal. Bahaya... banyak cerita pelik-pelik."
Namun Faizal bukan jenis lelaki yang percaya pada cerita seram. Baginya, semuanya hanya mainan fikiran. Tambahan pula, dia sudah biasa memandu malam.
Namun, ketika keretanya membelok ke satu selekoh tajam selepas jambatan kecil di kawasan hutan pergunungan, dia terlihat sesuatu yang membuatkan hatinya berdebar kencang.
Seorang perempuan berpakaian serba putih berdiri di tepi jalan. Rambutnya panjang menutupi wajah. Dia tidak bergerak, hanya berdiri tegak sambil menghadap jalan.
Faizal memperlahankan kereta, nalurinya bercampur aduk antara simpati dan ketakutan.
"Orang ke tu? kenapa berdiri tengah malam begini?" Faizal berbisik.
Namun kerana kasihan, dia memberhentikan keretanya. Perlahan-lahan, dia menurunkan cermin tingkap.
"Cik, cik okey? Nak tumpang ke mana?" Faizal bertanya dengan suara tenang.
Perempuan itu tidak menjawab. Tiba-tiba, dia mengangkat kepala perlahan-lahan dan menoleh. Wajahnya pucat, matanya redup seperti kosong, dan kulitnya seputih kain kapan.
Sebelum Faizal sempat berkata apa-apa, perempuan itu hilang di depan matanya. Seolah-olah ditelan angin malam.
Faizal terperanjat, menekan minyak dan memecut tanpa toleh ke belakang. Dadanya berdegup kencang. Tangan menggigil di stereng.
Namun kejadian aneh tidak berakhir di situ.
Beberapa minit kemudian, cermin pandang belakang keretanya menunjukkan sesuatu yang membuatkan Faizal hampir terbabas - perempuan berpakaian putih tadi kini duduk di kerusi belakang, diam tanpa suara.
"Ya Allah!" Faizal menjerit sambil memandu lebih laju.
Air-cond keretanya tiba-tiba menjadi sejuk beku, seperti diselubungi kabus. Nafasnya kelihatan dalam bentuk wap. Dia membaca ayat kursi dengan tergagap-gagap, walaupun mulutnya terasa kaku.
Perempuan itu tidak bergerak, namun kehadirannya membuatkan suasana menjadi begitu menyesakkan. Mata Faizal mula berair, jantungnya terasa mahu meletup.
"Pergi! aku tak ganggu kau! Jangan kacau aku!" jerit Faizal sambil menekan klakson berulang kali.
Tiba-tiba, perempuan itu menghilang lagi. Tiada siapa di kerusi belakang.
Faizal berhenti di tepi jalan, membuka pintu dan muntah tepi semak. Dia terduduk di atas rumput sambil memegang kepala. Tidak pernah seumur hidup dia berhadapan dengan sesuatu yang sebegitu nyata.
Setelah beberapa minit menenangkan diri, Faizal memutuskan untuk meneruskan perjalanan dan tidak mahu berhenti di mana-mana lagi. Dia nekad untuk sampai ke rumah walau apa pun berlaku.
Namun, ketika menghampiri satu lorong kecil berhampiran kawasan perkuburan lama - yang dahulunya pernah menjadi tapak kampung tetapi sudah ditinggalkan - dia terlihat perempuan yang sama sedang berdiri di tengah jalan.
Kali ini, dia tidak menoleh, tidak hilang, tidak bergerak.
Faizal membrek kuat sehingga keretanya berhenti beberapa meter dari perempuan itu. Lampu tinggi kereta memancar jelas seluruh tubuhnya. Bajunya yang putih lusuh, tangannya yang kurus menggigil, dan kaki tidak beralas.
Tetapi yang paling menyeramkan - wajahnya berdarah, seperti baru disiat kulitnya.
Faizal tidak sempat berbuat apa-apa apabila perempuan itu melangkah perlahan menuju ke keretanya, namun tidak ke pintu pemandu. Sebaliknya, dia berjalan terus ke hadapan kereta dan melalui bonet kereta seolah-olah tubuhnya tembus. Dia lenyap begitu sahaja.
Faizal menjerit sekuat hati, enjin keretanya mati tiba-tiba. Lampu-lampu padam. Telefon bimbitnya juga langsung tidak berfungsi.
Beberapa minit kemudian, cahaya dari belakang mendekatinya - sebuah lori sawit berhenti di belakang.
Seorang lelaki tua turun dan mengetuk cermin kereta Faizal. "Anak okey? kenapa berhenti tengah jalan ni?"
Faizal membuka pintu dan teresak-esak. Dia menceritakan apa yang berlaku kepada lelaki tua itu.
Orang tua itu menarik nafas panjang. "Kau nampak dia juga ya... Dia tu sudah lama menghuni jalan ni. Anak dara kampung sebelah yang mati dibunuh di sini. Mayatnya pernah dibuang dekat selekoh jambatan tu... Tapi sampai sekarang rohnya tak tenang."
Faizal terkedu. Tubuhnya menggigil.
Lelaki tua itu membantunya menghidupkan semula enjin kereta. Faizal mengikut lori tersebut dari belakang, sampai ke simpang jalan besar. Sepanjang jalan, tiada lagi gangguan.
Namun sehingga ke hari ini, Faizal tidak akan pernah lupa pandangan mata kosong perempuan berpakaian serba putih itu.
Dan setiap kali melalui jalan lama dari Keningau ke Tenom, dia akan pastikan tidak pernah lalu waktu malam lagi.
Tamat
Penulis: Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan