Malam itu hujan turun renyai-renyai. Jam menunjukkan 12:47 tengah malam. Aina baru sahaja selesai membasuh pinggan di dapur apabila dia terdengar bunyi pelik dari bilik tidurnya-seakan sesuatu terjatuh ke lantai. Pada awalnya dia menyangka mungkin kucing peliharaannya yang bermain, tetapi dia teringat, sejak dua hari lepas, si comel itu dihantar ke rumah ibunya.
Dengan langkah perlahan dan jantung yang berdebar, Aina menuju ke bilik. Lampu masih terpasang, dan semuanya kelihatan seperti biasa-kecuali satu perkara: cermin hiasan di meja solek senget sedikit, seolah-olah ada seseorang yang baru menyentuhnya.
Aina membetulkan kedudukan cermin itu. Ketika jarinya menyentuh bingkai cermin, dia ternampak satu bayang hitam melintas di belakangnya dalam pantulan cermin. Pantas dia menoleh-kosong. Tidak ada sesiapa.
Dia menelan liur. Nafasnya tidak teratur. Aina cuba memujuk hatinya bahawa dia hanya letih. Tapi apabila dia memandang semula ke cermin... bayang itu masih ada di dalam pantulan-walaupun dia tidak nampak apa-apa di belakangnya.
Bayang itu berdiri tegak. Perlahan-lahan ia mula mengangkat tangan dan melambai ke arahnya.
Aina menjerit dan terus berundur. Dia menarik keluar telefon bimbit dan cuba menghubungi teman lelakinya, Faiz. Tapi tiada jawapan.
Dia menutup cermin itu dengan kain putih, cuba menenangkan diri dan kembali ke ruang tamu untuk tidur di sofa malam itu.
Keesokan harinya, Aina cuba melupakan apa yang berlaku. Dia menyangka mungkin gangguan itu hanya mainan minda, dan dia perlukan rehat. Namun, sejak malam itu, dia mula mengalami mimpi aneh berulang kali.
Dalam mimpi itu, dia berada dalam sebuah bilik gelap yang hanya diterangi oleh cahaya dari satu cermin besar di hadapannya. Dalam cermin itu, ada dirinya, tetapi bukan dirinya yang biasa. Wajahnya pucat, matanya hitam pekat tanpa biji mata, dan dia tersenyum aneh.
Setiap kali dia cuba melangkah ke belakang, pantulan dirinya itu tidak bergerak, sebaliknya kekal berdiri sambil terus menatap dan tersenyum dengan senyuman yang makin luas... hingga ke pipi.
Aina mula takutkan cermin di rumahnya. Setiap kali dia lalu di depan cermin, walaupun secara sepintas lalu, dia pasti akan terperasan pergerakan pantulan yang tidak seiring dengan dirinya. Kadang-kadang, dia melihat bayang dirinya dalam cermin berdiri lebih lama, memandang ke arahnya walaupun dia sudah pun berlalu pergi.
Aina akhirnya membuat keputusan untuk menyingkirkan cermin itu. Malam itu, dia mengangkat cermin berbingkai kayu itu keluar dan membuangnya ke tong sampah di belakang rumah.
Namun gangguan tidak berhenti.
Malam itu juga, ketika dia menyalin pakaian di bilik air, ada suara berbisik di belakang telinganya. "Kenapa kau buang aku...?"
Dia menjerit dan terjatuh ke lantai bilik air. Dalam keadaan menggigil, dia memandang ke arah dinding bilik air... dan di sana, terpampang pantulan dirinya dalam jubin-tapi dengan wajah yang sama seperti dalam mimpi: pucat, mata hitam, senyuman mengerikan.
Keesokan harinya, Aina pergi berjumpa seorang ustaz yang dikenalakn oleh rakan tempat kerja. Setelah mendengar cerita Aina, ustaz itu bertanya satu soalan yang membuatkan Aina terkedu:
"Cermin itu... adakah ia cermin lama yang diwarisi?"
Aina mengangguk. Cermin itu diberikan oleh arwah neneknya sebelum meninggal dunia. Sejak itu, cermin itu selalu ada di biliknya.
Ustaz itu menjelaskan bahawa ada kemungkinan makhluk telah 'berumah' di dalam cermin itu, dan hubungan antara Aina dan makhluk itu menjadi semakin kuat kerana Aina sering bercakap sendiri di hadapan cermin, meluahkan rasa sedih dan kesepian.
"Cermin itu seperti pintu. Bila kita terlalu rapat, kita sedang membuka jalan," kata ustaz itu.
Malam itu, ustaz tersebut datang ke rumah Aina untuk melakukan ruqyah dan pembersihan ruang. Namun ketika upacara itu berlangsung, tiba-tiba lampu terpadam, dan bunyi ketukan kuat bergema dari dinding bilik.
Ketika lampu menyala semula, di dinding itu terdapat satu perkataan yang tertulis dalam tulisan merah seakan darah: "AKU TIDAK PERGI."
Sejak malam itu, Aina berpindah dari rumah lamanya. Dia tidak lagi menggunakan sebarang cermin di rumah barunya-semua dinding dibiarkan kosong. Namun kadang-kadang, ketika dia berjalan di mall atau terlihat pantulan dirinya di tingkap kereta...
... dia akan perasan sesuatu.
Ada satu bayang hitam berdiri di belakangnya.
Dan pantulan itu masih melambai kepadanya.
Nantikan sambungan cerita, Bayang Di Sebalik Cermin - Episod 2: Cermin Kedua
Ditulis oleh Sahril, penulis kisah seram dan misteri dari Sabah.
Ikuti episod penuh hanya di blog ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan