Ekspedisi Perkhemahan Di Hutan

 Malam itu, angin sejuk menyusup di celah dedaunan, mengiringi enam sahabat yang berkumpul di sekeliling unggun api. Mereka - Amir, Liza, Syafiq, Wawa, Azim, dan Nana - telah merancang ekspedisi ini selama berminggu-minggu. Lokasi pilihan mereka ialah sebuah hutan simpan yang terletak jauh dari kampung, dikatakan masih belum terusik oleh pembangunan moden.

Amir mengetuai kumpulan itu. Dia seorang pencinta alam yang kerap masuk hutan. Namun, hutan ini sedikit berbeza. Sejak mereka tiba petang tadi, suasananya sunyi... terlalu sunyi. Tiada bunyi serangga, tiada kicauan burung. Hanya deru angin dan... rasa tidak enak yang sukar dijelaskan.

"Senyap semacam je hutan ni," tegur Liza sambil menggigit bibir.

"Biasalah. Mungkin sebab kita baru je masuk, belum malam betul lagi," jawab Amir, cuba menyedapkan hati semua.

Tapi bila malam menjelma, kesunyian bertukar menjadi sesuatu yang lebih menyeramkan. Unggun api semakin kecil. Wawa cuba menambah kayu, namun apinya tidak menyala seperti biasa.

Tiba-tiba, dari celah pokok, kedengaran suara tangisan perlahan. Tangisan perempuan. Semua mata tertumpu ke arah bunyi itu. Nana memeluk lututnya. Wajahnya pucat.

"Korang dengar tak?" soal Syafiq perlahan.

"Suara menangis... " sahut Azim, matanya melilau ke sekeliling.

Amir bangun perlahan. "Mungkin ada orang sesat. Aku pergi tengok kejap."

"Jangan, Amir!" Wawa cuba menghalang, tapi amir sudah melangkah masuk ke kegelapan.

Lima minit berlalu. Sepuluh minit. Tiada tanda Amir akan kembali.

Tiba-tiba, tangisan itu berhenti... dan diganti dengan tawa halus yang nyaring. Suara itu datang dari arah berbeza kini. Seolah-olah mengelilingi mereka.

"Amir!" jerit Liza, namun tiada jawapan.

kemudian... dari balik semak, seseorang muncul.

Tapi itu bukan Amir. 

Makhluk itu memandang mereka, dan berkata dengan suara garau, "Kamu tak sepatutnya berada di sini... Ini tanah kami."

Wawa menjerit. Nana pengsan. Syafiq dan Azim menarik Liza, melarikan diri tanpa menoleh ke belakang.

Dalam kekalutan, mereka terpisah.

Azim dan Liza berjaya keluar ke jalan besar pada subuh esoknya, dalam keadaan tercungap dan berpeluh. Polis dan penduduk kampung menjalankan operasi mencari yang berlangsung selama tiga hari.

Namun hanya jasad Wawa dan Nana yang dijumpai - di tepi sungai, dengan tubuh penuh kesan calar dan mata yang terbuka luas, seolah-olah melihat sesuatu yang sangat mengerikan sebelum mati.

Amir dan Syafiq langsung tidak ditemui. Hilang tanpa jejak.

Penduduk kampung kemudian memberitahu, hutan itu pernah menjadi tempat pembunuhan beramai-ramai semasa zaman penjajahan. Roh-roh mereka dikatakan tidak pernah aman... dan akan memburu sesiapa yang mengganggu tanah keramat mereka.

sejak kejadian itu, hutan tersebut diwartakan semula sebagai kawasan larangan.

Dan sehingga hari ini, suara tangisan perempuan masih kadang-kala kedengaran... dari dalam hutan yang kelam itu.


TAMAT

Penulis: Sahril


Ulasan