Rabu, 9 Julai 2025

Bayang Di Sebalik Cermin Episod 2: Cermin Kedua

 Sudah hampir dua minggu Aina berpindah ke rumah sewa baharunya. Sebuah unit kecil dua bilik di tingkat atas bangunan kedai lama, jauh dari kawasan perumahan asal. Dia berharap dengan berpindah, gangguan itu akan berhenti.

Tapi malam itu, ketika Aina baru mahu melelapkan mata, telefon bimbitnya berbunyi.

Panggilan video dari nombor tidak dikenali.

Aina berkerut. Waktu sudah jam 2:11 pagi. Dia nyaris mahu mengabaikan, tapi entah kenapa jarinya tergelincir dan panggilan itu terjawab sendiri.

Skrin telefon hanya hitam pekat. Tiada suara. Tiada bayang sesiapa.

Kemudian perlahan-lahan muncul sesuatu.

Cermin.

Cermin itu sangat dikenali. Cermin lamanya yang telah dibuang. Namun kini ia berdiri dalam sebuah bilik yang tidak dikenalinya, dan pantulannya menunjukkan seorang perempuan-berdiri kaku, berpakaian seperti Aina, tapi wajahnya kabur, seperti dikaburkan oleh kabus dari dalam cermin itu sendiri.

Sebelum Aina sempat menjerit, skrin bertukar gelap semula.

Dan satu mesej masuk.

"Cermin ini bukan satu-satunya pintu."


Esoknya, Aina mengambil cuti dan pergi semula ke rumah lamanya, yang kini kosong dan berkunci. Dia berdiri di luar pintu, cuba menyusun akal-apa maksud mesej itu? Adakah 'dia' masih di sini?

Ketika dia ingin berpaling pergi, satu suara berbisik di belakang:

"Cermin kedua... sudah dibuka."

Aina tersentak. Dia menoleh pantas, tiada siapa. Jalan itu sunyi. Tapi satu perkara membuatkan bulu romanya meremang-bayang dirinya di tingkap rumah lama itu sedang tersenyum... dan melambai.


Malam itu, Aina tidak dapat tidur. Semua cermin dan permukaan pantulan di rumahnya-tingkap, skrin TV, peti ais keluli-ditutup dengan kain hitam. Tapi gangguan tetap datang... dalam mimpi.

Dia kembali ke bilik gelap itu. Kali ini bukan satu, tetapi dua cermin berdiri bersebelahan. Dalam setiap cermin, ada dirinya... tapi wajah mereka tidak lagi menyerupainya. Satu bermata merah, satu lagi senyum dengan gigi hitam panjang melepasi bibir.

"pilih satu untuk pulang..."

"...atau kami semua akan ikutmu keluar."

Dia terbangun dengan peluh membasahi seluruh badan. Di dinding bilik tidurnya, dengan kapur putih yang tidak diketahui dari mana datangnya, tertulis:

"Satu cermin dibuang. Satu lagi sedang menunggu..."


Aina mula menyelidik sejarah cermin itu. Dia menghubungi pakciknya, adik kepada arwah neneknya. dan dari situlah segala-galanya terbongkar.

"Cermin itu... bukan sekadar perhiasan. Arwah mak dulu ada sepasang cermin kembar-diberi oleh seorang bomoh lama dari pendalaman Ranau. katanya untuk 'menyimpan pengawal' dari alam lain."

Tapi salah satu cermin hilang dalam kebakaran 30 tahun dahulu. Yang tinggal hanya satu-yang diwarisi Aina. Dan jika mesej itu benar, cermin kedua itu mungkin telah ditemui semula.


Beberapa hari kemudian, Aina mendapat mesej bergambar dari nombor tidak dikenali. Gambar itu menunjukkan seorang wanita sedang bersolek di meja cermin... dan di cermin itu, bayang hitam sedang memegang bahunya. Wanita itu tidak menyedari apa-apa.

Di bawah gambar itu tertulis:

"Sudah mula mencari mangsa baharu. kau akan kembali, atau kami jemput ke sini?"


Aina tahu dia tidak boleh lari selamanya. Dia perlu mencari cermin kedua... dan memusnahkannya sebelum lebih ramai menjadi mangsa.

Tapi malam itu, ketika dia sedang bersiap untuk tidur, dia perasa sesuatu di telefon bimbitnya.

Gambarnya sendiri.

Tapi dia tidak pernah ambil gambar itu. Dalam gambar itu, dia berdiri di depan cermin- yang sudah dia tutup sejak hari pertama berpindah.

Dan bayang di belakangnya sedang tersenyum.



Bersambung Ke Episod 3: Jejak Cermin Kembar

Penulis: Sahril

Tiada ulasan:

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi

Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu...