Di dunia sebenar, Faiz mula merasakan sesuatu yang pelik dengan "Aina",
Dia masih wanita yang sama-wajah, suara, tingkah laku-tapi ada satu perkara yang Faiz tidak boleh nafikan: dia terlalu sempurna. Terlalu tenang, terlalu manis, terlalu patuh.
Aina tidak lagi takutkan cermin. Malah kini, dia menggilap setiap permukaan cermin dalam rumah setiap hari. Dan setiap kali Faiz melintas di hadapan salah satu cermin itu, dia seolah-olah melihat pantulan yang.... lambat bergerak. Kadangkala tidak bergerak langsung.
Faiz cuba menghubungi Tok Biah, namun diberitahu bahawa wanita tua itu tiba-tiba jatuh sakit dan tidak sedarkan diri. Tiada sesiapa tahu puncanya.
Faiz resah. Petang itu, dia membelek album lama Aina, cuba mencari petunjuk, atau mungkin sekadar menenangkan fikirannya.
Tapi sewaktu memandang salah satu gambar lama Aina-dia terperasan sesuatu.
Wajah Aina dalam gambar itu... tidak lagi kelihatan sama. Entah bagaimana, gambar-gambar itu telah berubah. Senyuman Aina kini kelihatan tegang. Matanya seperti tidak berpandang ke arah kamera. Seolah-olah... dia memandang ke sesuatu di belakang.
Faiz menoleh perlahan ke cermin besar di ruang tamu.
Dalam pantulan, Aina sedang berdiri di belakangnya, sedangkan dia tahu Aina masih berada di dapur.
Apabila Faiz berpaling seorang fizikal-kosong.
Tapi dalam pantulan, Aina itu tidak bergerak. Masih menatapnya.
Malam itu, Faiz pura-pura tidur.
Dia mengintai melalui celah matanya.
Dan dia nampak Aina bangun... perlahan-lahan berjalan ke cermin besar di bilik mereka.
Dia berdiri lama di hadapan cermin itu, kemudian bercakap dengan dirinya sendiri-atau lebih tepat, dengan 'dengan dirinya yang lain' dalam cermin.
"Jangan risau. Dia akan percaya kita sepenuhnya tidak lama lagi."
"Aina yang lama... sudah lupa jalan pulang."
Sementara itu, di dalam dunia cermin, Aina sebenar menjerit dan menangis setiap hari. Dia dikelilingi oleh pantulan-pantulan palsu yang meniru dirinya, memperlekeh dan menghasutnya.
"Dia sudah ambil tempat kau, Aina." "Dia cium Faiz malam tadi." "Dia pakai baju kegemaran kau, dan Faiz suka." "Kenapa kau tak senyum? Bukankah ini yang kau takutkan?"
Aina menekup telinga. Dia melarikan diri ke dalam ruang gelap dunia cermin itu-dunia yang penuh pantulan yang tidak konsisten, di mana bayang tidak ikut langkah, di mana suara pantulan berbunyi lambat satu saat daripada realiti.
Di sanalah, Aina terjumpa Tok Biah.
Tok Biah duduk di atas lantai kaca retak, kelihatan letih dan tua. Tapi matanya masih bersinar.
"Aku ditarik masuk malam cuba kau tutup pintu itu. Paku terakhir... tak cukup kuat. Makhluk tu sempat lolos... dan dia ganti tempatmu."
Aina menggigil. "Aku nak keluar. Tolong aku."
Tok Biah mengangguk perlahan.
"Ada satu peluang terakhir. Tapi kau perlu temui pantulan asal-pantulan dirimu yang masih suci, belum terpecah oleh bayang. Ia tersembunyi dalam ruang paling dalam dunia ini. Hanya pantulan itulah yang boleh menarikmu keluar kembali."
Di dunia nyata, Faiz mula menyusun rancangannya sendiri.
Dia berpura-pura percaya dan bahagia, tapi diam-diam menyusun kamera rahsia di sekitar rumah-terutamanya di depan cermin.
Pada malam ketiga, dia mendapat rakaman yang membuatkan darahnya beku:
Aina sedang bercakap dengan pantulan dalam cermin. Pantulan itu menjawabnya. Mereka berdua ketawa. Dan kemudian... Aina masuk ke dalam cermin.
Rakaman itu terhenti di situ.
Faiz menggenggam erat telefon. Dia tahu, isterinya bukan lagi Aina.
Dan dia bertekad malam ini-dia akan berdepan dengan makhluk itu.
Bersambung Ke Episod 8: Kebenaran Di Sebalik Pantulan
Penulis: Sahril
Jika anda terlepas episod sila ke halaman blog saya di: Studio Cerita Sahril
Tiada ulasan:
Catat Ulasan