Khamis, 10 Julai 2025

Bayang Di Sebalik Cermin Episod 6: Cermin Yang Tidak Tidur

 Aina melangkah perlahan ke arah cermin almari pakaian itu.

Pantulan dalam cermin masih menunjukkan dirinya terbaring di katil, sedang tidur, lengkap dengan pakaian yang sama. Tapi dia tahu-dia belum tidur. Dia masih berdiri.

Dia cubit lengannya sendiri. Rasa sakit. Dia cuba bercakap, namun pantulan di cermin tidak mengikut gerak bibirnya. Ia kekal terbaring, matanya masih terbuka... dan senyum itu... tidak hilang.

"Itu bukan aku... Itu dia."

Aina terus mengambil kain dan menutup permukaan cermin itu. Jantungnya berdegup laju, tangannya menggeletar.


Pagi esoknya, Aina nekad membawa cermin almari itu ke luar rumah. Dia patahkan bingkai dan menyorokkan kaca cermin ke dalam tong sampah yang paling jauh dari kawasan perumahan. Tapi ketika dia pulang...

Pantulan dirinya masih ada di dalam almari.

Dia menjerit. Faiz yang baru pulang dari tempat kerja tergesa-gesa masuk ke bilik dan memeluk Aina.

"Kenapa ni?"

Aina menunjukkan almari itu-yang kini hanya permukaan kayu biasa, tanpa sebarang cermin.

Tapi hanya dia yang nampak pantulan tidur itu masih di situ, bernafas perlahan, mata terbuka, dan senyuman makin melebar.


Malamnya, Faiz menemani Aina tidur. Dia memastikan semua cermin di rumah dikeluarkan atau ditutup. Tapi tengah malam itu, Aina terjaga.

Bukan dari mimpi. Tapi dari bunyi... ketukan halus.

Ketukan dari dalam almari.

Dia cuba bangun, tapi tubuhnya terasa berat. Seolah ada sesuatu menekan badannya dari dalam. Dia berpaling ke arah almari.

Pintu almari terbuka perlahan.

Dari dalamnya... keluar 'Aina'. Wajah sama. Tapi mata hitam legam, dan senyum panjang hingga ke pipi.

Aina palsu itu naik ke katil, dan tidur di sebelah Faiz.

Dan Aina yang sebenar... 

Tidak mampu bersuara.


Ketika fajar menyinsing, Aina tersedar-dia berdiri di tengah jalan, berpakaian tidur, tanpa ingat bagaimana dia sampai ke situ. di sekelilingnya, hanya kabus tebal dan sunyi.

Dia cuba menelefon Faiz. Tiada talian.

Tiba-tiba, satu suara dari belakang berbisik:

"Tempatmu bukan di sini lagi."

Dia menoleh. Seorang wanita berpakaian serba putih berdiri jauh dalam kabus. Wajahnya kabur, tapi Aina tahu... itu wajah dirinya sendiri.

"Aku kini hidup untukmu. Kau berehat sajalah dalam cermin."


Di dunia nyata, Faiz terjaga dari tidur. Aina sedang menyediakan kopi di dapur, seperti biasa.

Tapi ketika Faiz hendak melangkah keluar, dia perasan sesuatu pada cermin kecil di dinding dapur.

Aina dalam cermin itu... sedang menjerit.

Wajahnya cemas. Mulutnya membuka luas, tapi tiada bunyi. Tangannya menampar permukaan kaca. Namun Aina yang berada di dapur... 

Tidak menyedari apa-apa.

Dia hanya senyum, dan berkata perlahan,

"Awak nak kopi panas atau sejuk hari ni?"



Bersambung Ke Episod 7: Dia Yang Mengambil Tempatku

Penulis: Sahril

Ikuti cerita penuh saya di halaman blog: Studio Cerita Sahril


Tiada ulasan:

Tangga Berbunyi Jam 2:44 Pagi

Rumah pusaka itu berdiri megah di pinggir kampung kandang Ayam, sebuah kawasan pedalaman yang terletak jauh dari pusat bandaraya. Rumah kayu...